Sunday, May 29, 2011

ISLAM TERCEMAR - REMAJA B'CINTA PADA NAFSU!!

Usia tahun ini sudah mencecah 15, 18, 20, atau 25 tahun. Usia remaja setahun jagung ini menandakan tempoh permulaan buat semua pejuang-pejuang agama bagi mematangkan fikiran supaya Islam tidak layak dipijak dan dihina oleh Yahudi dan Nasrani. Takbir ... Maka, tibalah tahap yang amat mencabar, di mana di sinilah permulaannya, iman kita akan dibentuk dengan akidah dan akhlak digauli dengan ramuan ibadah beserta bi'ah yang solehah.

Wahai remaja ,

Bukan ini masanya untuk kita mencari teman hidup yang difikirkan sesuai. Asyik diifikirkan, difikirkan dan difikirkan lagi. Waktu ini syaitan dan iblis menyolek muka dan mata kita supaya tertarik kepada anugerah kecantikan dan kecomelan makhluk ciptaan Tuhan. Masa ini nafsu menyuruh kita supaya melakukan sesuatu perkara yang membolehkan kita mendapat perhatian dan pujian.Terampil mengoda bergaya!

Sedang Yusuf yang digoda oleh Zulaikha yang menggoda pun tidak langsung tertarik hatinya untuk melakukan zina. Inikan kita yang bertaraf hamba yang hina. Rata-rata melakukan ibadah untuk mengharapkan pujian dan perhatian, mahu dianggap baik, sopan dan soleh, bukan mengharapkan pahala dan perhatian Tuhan. Rata-rata melakukan kebaikan supaya dipandang bagus bukannya mencari redha Allah.

Syaitan dan Nafsu bergembira atas tindakan kita yang mengacau puteri-puteri islam yang manis dan mengurat putera-putera islam yang segak. Syaitan dan Nafsu juga tentu sedang bergembira atas kejayaan mereka menyelimuti kita supaya tidak bangun menunaikan solat Subuh berjemaah apatahlag bangun bertahajud di hamparan sejadah Qiamulail. Syaitan dan Nafsu juga amat gembira apabila melihat Rumah Allah dibunyikan di dalamnya rancak nada dering telefon bimbit, umpatan-umpatan serta perkataan-perkataan komunikasi yang merugikan masa dan membuang erti kata sebenar iktikaf .

Wahai remaja ,

kita mesti menyedari bahawasanya kita sebenarnya sedang menempuh lautan yang berombak dan bergelora saat ini. Sudah tiba masanya untuk menaikkan layar supaya kita tidak tenggelam hanyut dibawa oleh fitnah dunia. Sudah tiba masanya untuk berlayar lebih jauh dengan kapal TAKWA dan layar IMAN untuk mencari pelabuhan REDHA (Mardhatillah). Sudah tiba masanya merebut dan menjala ikan-ikan PAHALA bukannya merelakan diri ditelan dengan jerung DOSA dan badai NERAKA. Sedarkah kita ?

Adakah 'buaya-friend' dan 'gila-friend' wajib menjadi sesuatu yang dominan dalam kehidupan setiap yang bergelar remaja ? Bagaimana dengan status remaja islam ? Sememangnya wajib memilikinya seorang sat atau maksimun 4 atau bersilih ganti ? atau status mencari pengalaman di alam remaja ? Jawapannya sudah tentu sekali TIDAK !

Mengapa ? Salahkah bercinta ? Cuma setakat hendak berkenalan dengan lebih intim ? Bukannya sampai berpegangan tangan ataupun bercium-ciuman pun ? Kita dah besarlah, bukan budak-budak , semuanya BOLEH !

Bukan begitu wahai remaja,

Islam tidak menghalang benih-benih cinta ditanam di setiap hati insan bergelar muslim. Namun sekarang kita adalah MASIH REMAJA. Amanah yang diberikan bukannya disuruh menghampiri zina. Tetapi berusaha, belajar, berdakwah dan beribadah sehingga berjaya. Fokus matlamat kehidupan sebenar di alam akhirat nanti. Kenapa mengizinkan diri terus hanyut dalam noda dunia yang penuh sengketa dan pura-pura? Masanya sudah tiba, ayuh kita bangkit wahai remaja-remaja islam, kita berjuang sehingga Masjidil Aqsa dibebaskan. Kita berjuang sehingga fitnah Dajjal dapat kita tewaskan. Kita memerdekakan jiwa kita yang dibelenggu musuh nyata. Kita melawan hawa nafsu dengan penuh kesabaran, hingga dapat menjadi penghuni syurga yang penuh dengan kenikmatan. Janji Allah itu pasti !

Bukannya kita perlu mencari publisiti murahan. Dengan mengacau dan mengorat makhluk comel dan kacak ciptaan Tuhan. Menjaja perasaan indah gelora Uda dan Dara. Bukannya dengan meninggalkan sunnah yang nabi wariskan. Bukan dengan membiarkan alasan murahan terus menghasut ; diri masih belum dapat hidayah, diri tidak bersedia ataupun sebenarnya diri MALAS melakukannya. Bukan dengan mengambil remeh dan memandang enteng kepada ibadat dan amalan yang dilakukan. Bukan dengan meninggalkan Al-Quran, Kitab suci yang dipelihara kesucian zaman-berzaman.Acuh tidak acuh mentaati Tuhan ? Macamlah yakin dan pasti sangat dapat ke syurga seperti Saidina Uthman bin Affan !

Wahai remaja,

kita seringkali mengeluh dan marah apabila kita diaibkan di khalayak ramai. Tidakkah kita terfikir, kita sedang dan akan malu mengaibkan diri sendiri di depan Allah dan di tepi malaikat. Ayuh celiklah, sedarlah dan bangunlah memperjuangkan Islam. Teruskan perjuangan sehingga nyawa bercerai dengan badan. Carilah ilmu dan perangi godaan hawa nafsu. Kata mahu Islam maju tetapi masih malas baca buku. Ini bukan hanya peringatan. Ambil jadikan pedoman. Jadilah remaja cemerlang yang beriman. Bukan sampah masyarakat yang tidur di laluan najis buangan.


Ayuh berjuang demi maruah remaja ISLAM dan generasi MUSLIM sedunia !

"Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam,supaya kamu jangan menyembah Syaitan! Sesungguhnya ia musuh yang nyata bagi kamu.Dan(Aku perintahkan): Hendaklah kamu menyembahKu; inilah jalan yang lurus. Dan sesungguhnya Syaitan itu telah menyesatkan golongan yang ramai di antara kamu; (setelah kamu mengetahui akibat mereka)maka tidakkah sepatutnya kamu berfikir dan insaf ? " Yaasin : 60-62


Saturday, May 28, 2011

ASTAGFIRULLAH - ZAKAT ITU IBARAT AH LONG??

Rukun Islam yang utama selepas solat adalah zakat. Zakat merupakan ibadah yang memerlukan seseorang yang cukup syaratnya, mengeluarkan sejumlah harta tertentu. Zakat juga dikenali dengan sedekah wajib. Selain yang wajib, Allah menggalakkan hambanya yang berkemampuan menyedekahkan sejumlah hartanya terutama yang disayanginya. Tidak sedikit ayat al-Quran yang menggesa umat Islam agar memberi sedekah, membelanjakan harta kepada program-program kebajian (fi sabilillah).

Selain boleh mensucikan diri daripada dosa, zakat dan sedekah juga boleh membantu membina produktiviti masyarakat, mengurangkan jurang kekayaan, membantu pengurusan harta yang lebih efisyen melalui re-distribution harta. Bahkan zakat dan sedekah boleh menambah kekayaan seseorang. Hakikatnya, masih tak kedengaran berita orang yang jatuh miskin kerana bersedekah, malah yang kita dengar, makin bertambah kaya!


Firman Allah: "Dan bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredaan Allah dan kerana meneguhkan (iman dan perasaan ikhlas) yang timbul dari jiwa mereka, adalah seperti sebuah kebun di tempat yang tinggi, yang ditimpa hujan lebat, lalu mengeluarkan hasilnya dua kali ganda. Kalau ia tidak ditimpa hujan lebat maka hujan renyai-renyai pun (cukup untuk menyiraminya) dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat akan apa yang kamu lakukan." [al-Baqarah: 265]

Betapa Allah menjanjikan ganjaran yang berlipat kali ganda kepada orang yang bersedekah. Usahkan ganjaran di akhirat, bahkan didunia lagi diganda-gandakan harta mereka yang mahu bersedekah. Allah menjanjikan keampunan dosa kepada mereka yang menunaikan zakat, dan bersedekah harta mereka. Pendek kata, sesiapa yang yakin tentang janji Allah untuk bersedekah, mereka tetap akan bersedekah dalam keadaan mereka bagaimana sekalipun.

Namun begitu Allah mengingatkan kepada kita bahawa setiap kali kita ingin bersedekah, pasti syaitan akan membisikkan bahawa harta kita akan menjadi kurang. Firman Allah:

"Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma) dan dia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat bakhil kedekut); sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripadaNya serta kelebihan kurniaNya dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmatNya, lagi sentiasa Meliputi PengetahuanNya." [al-Baqarah: 268]

Rasa takut harta terkurang akibat bersedekah sebenarnya berpunca daripada bisikan syaitan. Sedekah pada jalan Allah, secara matematiknya, harta kita semakin berkurangan, tetapi secara realistiknya, harta kita semakin bertambah. Ini kerana setiap sedekah itu dinilai sebagai investment oleh Allah.

Dari aspek ekonomi, sedekah dan zakat dianggap proses re-distribution atau proses penyebaran semula harta agar agihan kekayaan lebih adil dan saksama. Teori mudahnya, RM10 bagi orang kaya kadang-kala cuma untuk membasuh kereta, tetapi bagi orang miskin, belanja sehari satu keluarga.

Jika Sedekah Itu Digalakkan? Memintanya Bagaimana?

Islam memang menggalakkan bersedekah, tetapi pada masa yang sama Islam menggalakkan agar menahan diri daripada meminta sedekah. Bersedekah itu sifatnya menyeluruh, mungkin sedekah pada program-program membina jati diri masyarakat, mewakafkan tanah untuk pembangunan projek kebajikan masyarakat, bersedekah pada anak yatim yang tidak berkemampuan untuk bekerja, atau lebih perlu utamakan pelbelajaran daripada bekerja...

Bila Islam menggalakkan bersedekah, itu tidak bermaksud Islam menggalakkan meminta sedekah!! Para peminta sedekah, seringkali menggunakan ayat Quran dan hadis tentang bersedekah untuk menggalakkan orang bersedekah kepada mereka, tetapi pada masa yang sama mereka lupa bahawa Islam amat tidak menyukai sifat meminta-minta. Bahkan Allah merakamkan pujian kepada golongan yang menahan diri daripada meminta-minta di dalam al-Quran.

Firman Allah: " (Pemberian sedekah itu) ialah bagi orang-orang fakir miskin yang telah menentukan dirinya (dengan menjalankan khidmat atau berjuang) pada jalan Allah (membela Islam), yang tidak berupaya mengembara di muka bumi (untuk berniaga dan sebagainya); mereka itu disangka: Orang kaya oleh orang yang tidak mengetahui halnya, kerana mereka menahan diri daripada meminta-minta. Engkau kenal mereka dengan (melihat) sifat-sifat dan keadaan masing-masing, mereka tidak meminta kepada orang ramai dengan mendesak-desak dan (ketahuilah), apa jua yang kamu belanjakan dari harta yang halal maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahuinya. [al-Baqarah: 273]

Sabda Rasulullah s.a.w:
"Kamu meninggalkan waris kamu dalam keadaan kaya lebih baik daripada meninggalkan mereka dalam keadaan miskin dan meminta-minta daripada manusia..." [Bukhari Muslim]

Dalam sebuah hadis lain, Rasulullah bersabda:
"Tangan di atas (yang memberi) lebih baik daripada tangan di bawah (yang meminta-minta).." [Bukhari]

Bahkan dalam Sahih Bukhari, Rasulullah s.a.w bersaba seperti yang dilaporkan oleh Abu Hurayrah dan juga Zubayr bin Awwam:
"Demi Dia Yang jiwaku di Tangan-Nya, seorang yang mengambil tali lalu mengikat kayu api di belangkannya (untuk dijual) lebih baik daripada lelaki yang meminta-minta daripada seseorang, sama ada diberikan sedekah kepadanya atau tidak diberikan [Bukhari, Muslim dan lain-lain dengan lafaz yang berbeza tetapi sama maksudnya]

Menurut Ibn Hajar, pendapat yang paling sahih dalam mazhab Syafi'i pula adalah haram bagi mereka yang berkemampuan untuk bekerja tetapi masih meminta sedekah daripada orang lain.

Islam tidak mengajar umatnya malas bekerja dan meminta-minta. Bahkan asnaf zakat telah ditetapkan daripada golongan miskin yang tidak berkemampuan bekerja, atau pelajar yang lebih perlu mengutamakan pelajaran berbanding bekerja. Bagi mereka yang miskin tetapi berkemampuan bekerja, para Rasulullah dan para sahabat menegah daripada menerima zakat dalam bentuk bantuan wang, tetapi boleh menerima dalam bentuk bantuan untuk modal untuk memulakan kerja.

Yang dibolehkan meminta sedekah ialah mereka yang tidak mampu bekerja seperti kanak-kanak, wanita tua, OKU yang sukar bekerja, atau patut tumpukan kepada pelajaran daripada bekerja, seperti kanak-kanak dan remaja.

Bersedekah Menjana Produktiviti - Meminta Sedekah Mengurangkan Produktiviti


Berbeza dengan bersedekah yang boleh meningkatkan produktviti masyarakat. Dengan bersedekah, masyarakat miskin boleh turut membeli-belah, dan dengan membeli-belah, bertambah permintaan dan bertambahlah penawaran dan penghasilan produk. Ertinya, produktiviti semakin meningkat.

Namun jika orang yang berkemampuan untuk bekerja meminta sedekah, produktiviti masyarakat semakin menurun. Berlakunya pembaziran modal insan yang wajar digunakan pada tempat yang sepatutnya. Negara bukan cukup tenaga pun untuk menyumbang kepada pembangunan.

Jika seorang yang miskin mengusahakan tanah contohnya. Dia boleh menjual hasil tanahnya dan menyumbang kepada pembangunan negara. Kadang-kala kita melihat ada orang bertungkus-lumus menbuat kuih dan menjualnya demi mendapatkan seringgit. Sedangkan pada masa yang sama ada yang sihat tubuh badan, cuma dengan muka selamba tanpa malu meminta seringgit tanpa kos.

Sumbangan yang diberikan, tanpa pertukaran dengan barangan, menyebabkan pengaliran wang tanpa balasan dan ini memberi kesan yang tidak baik kepada produktiviti masyarakat. Islam menggalakan perusahan agar masyarkat produktif. Tidak sekadar mengalirkan wang, tanpa balasan sebuah produk atau perkhidmatan kerana ini turut menyumbang kepada peningkatan inflasi.

Kesimpulan


Tegasnya, galakan bersedekah oleh Islam adalah untuk membangunkan insitusi masyarakat yang tidak produktif menjadi produktif, seperti institusi pendidikan masyarakat, pembangunan modal insan, masyarakat yang ditakdirkan lemah untuk bekerja. Mereka ini amat memerlukan bantuan kita semua untuk bersedekah.
Atas sebab itu Islam mewajibkan zakat dan mengandakan wang dan harta bagi mereka yang rajin bersedekah.

Namun pada masa yang sama Islam amat tidak menggalakkan meminta sedekah, terutama bagi mereka yang berkemampuan, kerana sifat ini tidak menggalakkan produktiviti dalam masyarakat. Adalah menjadi falsafah ekonomi Islam untuk menyokong apa jua aktiviti yang produktif, dan membanteras aktiviti yang tidak produktif. Sebarang aktiviti pengaliran wang pada sektor yang tidak produktif, hanya akan merosakkan sistem masyarakat. Mereka yang berkemampuan untuk bekerja, lalu meminta sedekah, menjadikan insitusi masyarakat tidak produktif.

Dalam konteks yang sama, sebarang skim atau aktiviti yang mengalirkan wang tanpa apa-apa timbal balas produk yang berpatutan, juga hanya mengurangkan produktiviti dalam masyarakat. Skim pelaburan piramid contohnya, adalah salah satu bentuk pengaliran wang yang tidak produktif dan merosakkan masyarakat. Hakikatnya skim piramid sama sahaja dengan meminta sedekah, wang di beri kepada orang 'atas' dan wang lain diminta daripada 'orang bawah'.

Islam menggalakkan umatnya bekerja dengan tangan mereka sendiri. Menghasilkan produk yang bermutu tinggi, lalu mengedarkan dalam masyarakat untuk mendapatkan balasan wang. Itulah sistem ekonomi yang produktif, tetapi sistem sedekah akan merosakkan masyarakat jika terus disalahfahami.


Friday, May 27, 2011

ANTARA SUAMI, IBU DAN BAPA - MANA LEBIH PENTING?

Inilah uniknya peraturan Islam, ia bukanlah meletakkan kedudukan ibu ayah atau suami mengikut ranking, tetapi meletakkan Allah dan Rasul sebagai kedudukan utama. Namun Allah telah menjelaskan dalam banyak ayat di dalam al-Quran, betapa perlu berbuat baik kepada ibu dan bapa secara mutlak, sama ada selepas berkahwin atau sebelum berkahwin.

Saya berpendapat, kedudukan ibu dan ayah, sebegai orang yang wajar dihormati dan ditaati, tidak berubah. Ibaratnya, dalam sistem demokrasi berparlimen di Malaysia, dengan adanya sistem raja berperlembagaan, seorang suami seperti perdana menteri, manakala ibu dan ayah seperti Yang dipertuan Agong. Perdana Menteri adalah pemerintah yang sah yang wajar ditaati perintahnya, selagi mana tidak bercanggah dengan perlembagaan, begitu juga Raja yang wajar dihormati kedudukannya yang tinggi.

Carilah di dalam al-Quran satu ayat yang jelas, terang, tentang perlunya taat isteri kepada suami, lebih terang, atau sekurang-kurangnya sama jelas, dengan arahan Allah supaya taat kepada ibu bapa. Bahkan dalam banyak ayat, Allah meletakkan taat kepada kedua ibu bapa, kedua, selepas larangan mensyirikkan Allah. Begitulah hebatnya kedudukan ibu bapa.

Namun, ada sebuah hadis yang dijadikan dalil bahawa isteri wajib mengutamakan suaminya melebihi ibunya. Hadis ini diriwayatkan oleh Aisyah bahawa Rasulullah bersabda: “Siapakah manusia yang perlu diagungkan haknya oleh seorang wanita? Jawab Rasululah, “Suaminya”. Aku bertanya lagi, “Bagi seorang lelaki?”, Jawab Nabi, “Ibunya” [Riwayat al-Hakim]

Hadis ini ada diriwayatkan oleh al-Hakim dalam Mustadrak, yang dikatakan sahih berasaskan syarat Bukhari dan Muslim. Kerana kurangnya ilmu hadis dan hukum, maka hadis ini dipakai dan dijadikan hujah, sedangkan semua ulama’ hadis tahu bahawa hadis dalam Mustadrak oleh al-Hakim itu belum tentu boleh dipakai, walaupun dikatakan sahih, kecuali hadis-hadis yang disahkan oleh al-Dhahabi. Dalam kes cerita tadi, majori ulama seperti Albani, al-Dhahabi dan lain-lain mengatakan hadis ini sangat lemah, kerana terdapat perawi yang tidak diketahui, dan ada juga yang bertaraf ‘munkar’. Selain itu, cerita ini juga ada dalam riwayat al-Bazzar, tetapi sanadnya tetap daif.

Tegasnya, mana mungkin hadis yang sedaif ini untuk dijadikan dalil bagi mengatasi ayat al-Quran. Hadis sahih pun, kalau mengikut mazhab Hanafi, tidak boleh mengkhususkan al-Quran jika bercanggah. Justeru, tidak ada satu pun hadis yang sahih, yang menunjukkan keutamaan suami, lebih daripada keutamaan ibu bapa. Suami, ikatannya adalah perkahwinan, jika bercerai, terpaksa balik kepada ibu dan bapa juga yang tidak pernah putus.

Dengan kata lain, tidak boleh seseorang itu mengutamakan suami, sehingga mengabaikan tanggungjawab kepada ibu dan bapanya, dan tidak boleh suami menghalang isteri daripada melakukan tanggungjawabnya sebagai anak terhadap ibu bapanya. Tidak juga menafikan tempat isteri adalah disisi suaminya. Contohnya jika ibu bapa melarang ikut suami berpindah ke satu tempat yang lain, ini juga bercanggah dengan sunnah Rasulullah dan para sahabat. Bahkan menyalahi syariah kerana meruntuhkan rumah tangga.

Dalam bab ini, mungkin wujud situasi ‘grey area’, sebenarnya tidak ‘grey’ pun jika difahami betul-betul arahan Syariah. Taat kepada suami, atau taat kepada kedua-dua ibu bapa adalah kedua-duanya kehendak Syariah. Maka jika ada ibu bapa yang menghalang anaknya taat pada suami, maka ibu bapa itu telah melanggar Syariah, begitu juga suami yang menghalang isterinya taat pada ibu bapanya, juga telah melanggar Syariah kerana cuba memutuskan silaturrahim. Mana-mana arahan yang melanggar Syariah, tidak wajar diikuti oleh mana-mana pihak pun.

Itulah uniknya Islam, perlembagaan asasnya adalah Allah dan Rasul, al-Quran dan hadis. Tetapi hadisnya mestilah sahih. Jika hadis itu tidak sahih, pasti akan canggunglah hubungan antara manusia.

Amalan bergilir-gilir balik kampung di hari raya yang dibuat oleh masyarakat kita adalah sangat tepat dah sebenarnya. Tidak salah di sisi Syariah. Ibu bapa sama ada mertua atau ibu bapa sendiri, tarafnya sama sahaja. Sebab itu suami boleh berlihat aurat mertuanya berbeza dengan iparnya, kerana tarafnya sama dengan ibu bapa nya sendiri juga dari sudut ketaatan dan hormatnya.

Itulah secara teorinya dan secara praktiknya mungkin ada sedikit kerumitannya jika ada percanggahan, namun perlulah dihadapi dengan kewarasan dan kepintaran dengan panduan al-Quran dan hadis yang sahih. Nak berumah tangga.. pandai2lah uruskan...


Thursday, May 26, 2011

UMAT ISLAM BERILMU - JAUHI AMALAN BONGKAK.

RM10 bagi orang kaya, tidaklah mempunyai “nilai” yang sebesar orang miskin. Jumlah RM10 tetap sama, tetapi apa yang berbeza ialah “nilai” sesuatu itu. RM10 bagi orang berpendapatan tinggi, mungkin hanya secawan teh tarik di hotel (itu pun minum cuma separuh cawan), tetapi RM10 bagi orang miskin adalah pendapatan sehari mereka, yang cukup untuk makan satu keluarga. Dalam ekonomi, teori ini dipanggil sebagai teori marginal. Merupakan salah satu teori penting dalam ekonomi Keynes. Teori marginal mengukur perubahan sesuatu berasaskan kepada peningkatan kedudukan sumbernya. Dalam teori kepenggunaan, teori marginal menganggap, “nilai” bagi sesuatu akan semakin mengecil apabila semakin besar pendapatannya.

Teori ini sangat berguna dalam ekonomi. Sebab itulah Islam telah menetapkan sebanyak 2.5% potongan zakat terhadap harta yang telah cukup jumlah terkumpul yang tertentu yang pada kebiasaannya tidak digunakan untuk tempoh tertentu. Islam tidak mengenakan zakat kepada semua orang, tetapi hanya orang yang berpendapatan tinggi.


Teori Marginal Dalam Ilmu

Teori marginal mungkin sesuai untuk dibicarakan dalam soal harta, tetapi dalam soal ilmu, ia sepatutnya menjadi terbalik. Dengan kata lain, “nilai” bagi satu-satu ilmu sewajarnya dianggap lebih tinggi bagi mereka yang mempunyai ilmu yang tinggi. Dengan kata lain, orang yang berilmu tidak akan memperkecilkan sesuatu pengetahuan, walaupun ia kelihatan seperti pengetahuan yang remeh-temeh.

Dalam hukum ilmu, hanya mereka yang jahil yang akan menganggap ilmu itu tidak penting. Semakin seseorang itu berpengetahuan, sepatutnya semakin tinggi penilaiannya terhadap ilmu, tidak kira daripada siapa pun datangnya ilmu itu, daripada guru, cikgu, peruncit, penyapu sampah, pencuci tandas, nelayan, buruh binaan, mahupun daripada seorang murid.

Ilmu tidak semestinya datang daripada seorang guru kepada seorang murid, tetapi kerap kali juga datang daripada seorang yang dianggap murid kepada seorang guru. Atas sebab itu, sifat ego harus dibuang dalam diri mereka yang mencintai ilmu secara jujur. Jika dalam hatinya ada rasa bahawa hanya dia layak bercakap dalam satu-satu bidang, dan orang lain tidak tahu seperti apa yang dia tahu, maka dia telah melanggar pantang-larang seorang yang menuntut ilmu. Dengan bahasa mudahnya, sifat itu telah membuatnya kembali ke arah kejahilan.

Diceritakan dalam al-Quran bahawa Nabi Sulaiman a.s, pernah belajar cuma daripada seekor burung. Bahkan, Abu Hurayrah r.a, seperti yang diceritakan dalam hadis tentang kelebihan ayat al-Qursi, pernah belajar daripada Syaitan! Suatu ketika Rasulullah mewakilkan Abu Hurayrah r.a menjaga harta zakat, kemudian pada malam itu, datang seseorang, lantas mencuri makanan, lalu dapat ditangkap oleh Abu Hurayrah r.a. katanya kepada si pencuri itu, “Aku akan bawakan kamu kepada Rasulullah.” Oleh kerana tidak mahu dibawakan kepada Rasulullah, maka orang itu mengajar sesuatu kepada Abu Hurayrah, “Jika kamu mahu tidur, bacalah ayat al-Kursi, nescaya Allah akan sentiasa menjadi penjaga bagimu dan syaitan tidak akan mengganggumu hingga subuh.” Abu Hurayrah menceritakan kepada Nabi hal itu, lalu Rasulullah s.a.w bersabda, “Orang itu bercakap benar kepada kamu sedangkan dia sebenarnya pendusta besar, itulah Syaitan.” [Sahih Bukhari, Fadhail Surah al-Baqarah, No. 4624]

Benar, dalam kisah Abu Hurayrah itu, apa yang diceritakan daripada Syaitan itu tidak semestinya boleh terus diterima pakai, kecuali setelah disahkan benar oleh Rasulullah s.a.w. Tetapi antara pengajaran penting dalam kisah itu, dalam seorang itu menuntut ilmu, mereka tidak boleh hadkan hanya perlu belajar daripada mereka yang dianggap lebih tinggi ilmunya. Ilmu boleh datang daripada sesiapa sahaja. Profesor universiti tidak perlu mendabik dada dengan panjangnya CV mereka dengan penyelidikan dan penerbitan hingga menolak untuk membaca bacaan ringan daripada majalah ataupun blog ‘orang biasa’.


Hakikat Ilmu

Allah s.w.t berpesan dalam al-Quran, “Dan di atas setiap yang punyai ilmu, ada yang Maha Mengetahui.” Inilah yang perlu selalu diingatkan terhadap mereka yang mendalami ilmu, tidak kira peringkat diploma mahupun professor yang melakukan penyelidikan. Memahami ilmu yang semuanya hak milik Allah, seseorang itu pasti tidak akan mensia-siakan ilmu walau daripada siapa ia datang, kerana seringkali Allah mendatangkan ilmu daripada orang yang dianggap lebih kurang berilmu. Seringkali seorang yang berilmu akan mendapat ilmu daripada pertanyaan orang yang tidak berilmu.

Memperkecilkan sebarang bentuk pengetahuan cuma akan membentuk mental-block dalam minda seseorang. Mental-block ini seterusnya akan membina ego dan inilah yang memusnahkan jiwa orang yang dianggap berilmu. Ego dan sombong hanya layak menjadi pakaian bagi Allah, tetapi iblis telas dilaknat kerana turut cuba mahu turut memakainya. Sifat inilah yang harus dijauhi daripada seorang yang berilmu. Sumber pengetahuan tidak terhad kepada PhD atau professor sahaja, kerana professor universiti sendiri biasanya menghasilkan penyelidikan dengan soal selidik terhadap masyarakat awam. Yang penting adalah tahap kredibiliti ilmu itu sendiri.

Teori Marginal Ilmu adalah berbeza dengan teori marginal kepenggunaan. Semakin tinggi ilmu seseorang, semakin tinggi “nilai” terhadap sebarang pertambahan ilmu.

Wednesday, May 25, 2011

JANGAN HINA ISLAM DGN. AJARAN PENIPU.

Menyebarkan maklumat itu bagus, tetapi kalau menyebarkan berita-berita yang belum pasti, setakat agak-agak atau pun cuma rasa-rasa, itu banyak mengundang kerosakan berbanding kebaikan. Maklumat pasal makanan halal di facebook contohnya, banyak yang salah daripada yang betul. Kenapa tidak dirujuk direktori JAKIM berbanding sharing maklumat yang belum pasti? Hasilnya, tersebarlah spekulasi yang bukan-bukan.. yang menyebarkan dah lepas tangan. Islam bukan agama yang suka perkara yang belum pasti, Islam seboleh-bolehnya mengajar umatnya berbicara dengan keyakinan dan maklumat yang konkrit

Islam tidak pernah mengajar umatnya bercakap atas "rasa-rasa", atau sekadar "agak-agak". Tetapi Islam amat tegas soal keyakinan dan kepastian. Namun, perkara ini sering diabaikan oleh masyarakat. Alasan seperti untuk tujuan "berhati-hati" atau "tujuan baik" sering menjadi sebab utama maklumat begitu mudah disebarkan, bahkan diamalkan. Lebih-lebih lagi kalau baca berita cakap ahli politik, hanya sedikit sekali bicara mereka berasaskan fakta, banyak yang berasaskan speksulasi, yang belum tentu benar, tetapi dibesarkan bagaikan fakta. Lebih bahaya kalau yang diceritakan berasaskan "rasa-rasa" dan agakan itu adalah perkara yang berkaitan dengan hukum agama, persepsi agama, sejarah Nabi, para sahabat serta para ulama yang muktabar.


Islam Bermula Dengan Keyakinan

Bayangkan jika anda menaiki sebuah teksi yang anda ragui pengetahuan pemandu teksi tentang lokasi yang anda ingin pergi. Apa yang anda rasa? Sudah tentu rasa tidak selesa, pusingan terlalu banyak, meter RM semakin naik pula. Atau anda masuk hutan, tetapi penunjuk jalan sekadar main agak-agak dan rasa-rasa. Sudah tentu tak selamat. Begitulah dalam akidah Islam, kalau setakat ikut-ikut dan agak-agak, ia masih belum mencapai tahap keyakinan, sekurang-kurangnya, keyakinan pada tahap ilmu dan logik akal. Sebab itu Allah sentiasa mencabar manusia supaya menggunakan akal untuk mengkaji, meneliti, memerhati, menyelidiki apa jua ciptaanNya, agar manusia dapat keyakinan tentang ketuhananNya.

Akidah Islam bermula dengan keyakinan, kerana sifat Iman itu sendiri ialah suatu keyakinan yang jita terhadap keESAan Allah, para Rasul dan peranannya, sistem penyampaian Allah melalui kitab-kitab suciNya, peranan para Malaikat, kewujudan hari kiamat dan alam ghaib, serta ketentuan Allah untuk manusia. Bahkan Allah berfirman: "Itulah kitab yang tidak ada keraguan padanya, yang menjadi petunjuk kepada orang-orang yang bertaqwa" [al-Baqarah: 2]. Islam tidak mengiktiraf iman seseorang yang sekadar ikut-ikutan, atau melalui paksaan. Bagi Syariah Islam, sesuatu yang diikuti perlukan suatu bukti yang meyakinan, mententeramkan jiwa untuk mengikutinya.


Ibadah Dalam Keadaan Meyakinan

Apabila seseorang itu ingin menunaikan sembahyang, dalam kepalanya mesti ada keyakinan dahulu bahawa dia masih ada wuduk, atau dalam keadaan berhadas. Jika dalam keadaan berhadas, dia perlu mengambil wuduk, dan jika rasa masih dalam keadaan berwuduk, maka teruslah sembahyang, tanpa agak-agak atau ragu-ragu. Bahkan fekah Islam memberikan kaedah khusus untuk membuang sifat yang berasaskan agak-agak dan sangkaan ini, iaitu lihat kepada situasi asal. Jika pada asalnya kita yakin kita telah mengambil wuduk, dan ragu-ragu tentang bila batalnya wuduk, maka itu tandanya kita masih berwuduk. Begitu juga jika kita yakin yang kita dalam keadaan berhadas kecil, tetapi ragu-ragu adakah kita dah ambil wuduk atau tidak, maksudnya kita masih lagi berhadas.

Mengapa konsep ini wujud? Tujuannya untuk mengelakkan kita beramal dalam keadaan sangkaan, rasa-rasa, atau agak-agak. Adalah tidak sah kita berwuduk kali kedua dalam keadaan kita agak-agak sama ada masih ada wuduk atau sudah berhadas, tetapi kena cari jalan untuk lihat pada asal situasi. Sebab itu Rasulullah bersabda, "Tinggalkanlah apa yang meragukan kamu, kepada apa yang tidak meragukan kamu. Kerana kebenaran itu menenangkan jiwa dan pendustaan itu mengundah gulanakan hati" [Riwayat Termidhi].


Bertindak Berasaskan Keyakinan dan Fakta

Dalam komunikasi Islam, Allah memerintahkan kita memeriksa setiap maklumat yang diterima, sebelum menyebarkannya. Firman Allah: "Apabila datang kepada kamu orang yang fasik membawa berita, maka hendaklah selidiki dahulu.. [al-Hujurat: 16]. Ini kerana jika sebarkan pekara tanpa menyelidik, hanya menimbulkan spekulasi yang merosakkan masyarakat. Bahkan boleh menimbulkan keraguan dalam masyarakat. Atas sebab itu jangan mudah "Share" atau "Kongsi" informasi yang diterima, lebih-lebih lagi daripada facebook, atau email forward, sebelum diteliti terlebih dahulu asasnya. Contohnya kerap kali timbul isu tentang sijil halal makanan dan sesuatu produk, disebarkan dalam medium seperti facebook dan email. Yang menyebarkan itu sendiri tidak pernah menyelidik maklumat, yang membaca dan turut sebarkan itu pun sama. Adalah lebih baik semak daripada Jakim dahulu, atau tak perlu sebarkan dengan mudah, walaupun ditulis pada artikel itu "TOLONG SEBARKAN!"


Memang benar, ada sebuah hadis yang Rasulullah SAW, berpesan "Sampaikanlah apa-apa daripadaku walau sepotong ayat..." [Sahih Bukhari daripada Abdullah Ibn 'Amr] Atas dasar itu, maka dijadikan alasan untuk disebarkan semua cerita berkenaan dengan agama, tanpa menyelidik terlebih dahulu. Itu sikap yang salah, kerana Islam tidak berdiri atas spekulasi, tetapi berdiri di atas fakta. Hadis tersebut sepatutnya dibaca sehingga habis, yang mana akhir hadis itu Rasulullah memberi amaran yang keras, “...maka sesiapa yang berdusta dengan sengaja atas namaku, maka dia telah menempah tempat di dalam Neraka!” Dengan kata lain, berdusta menggunakan nama Nabi dianggap dosa yang besar, jika sengaja. Bahkan jika sengaja tidak memeriksa kandungan hadis, dan sebarkan sebagai fakta dan hadis daripada Nabi pun satu dosa. Namun apa yang ingin diperkatakan di sini adalah Islam mengecam sikap bercakap atas ilmu yang sekadar rasa-rasa dan agak-agak. Setiap fakta mesti diteliti dahulu, bila dah yakin baru sebarkan. Jika tersalah dalam keadaan itu baharu dimaafkan.


Lihatlah betapa ramai sahabat dan para Tabi‘in serta pemerintah Islam yang hebat dizalimi oleh umat Islam sendiri, akibat menyebarkan sesuatu berasaskan agak-agak dan rasa-rasa ini. Tha’labah r.a, ‘Alqamah r.a., Sayyidina Muawiyah r.a, dan anaknya Yazid, bahkan khalifah Abd Malik dan Marwan, sering menjadi ‘mangsa’ sejarah yang disebarkan oleh mereka yang kurang teliti dalam memindahkan fakta. Asal jumpa dalam karya sirah sahaja, terus dirembat buat modal ceramah. Ini sangat bahaya kerana mereka ini adalah kunci kepada kekuatan Islam. Jika mereka ini dijadikan ‘contoh buruk’ dalam ceramah politik atau agama, implikasi terhadap Islam sangatlah besar.


Rasulullah s.a.w melarang keras seseorang itu bercakap tentang isu agama kalau sekadar agak dan sangkaan tanpa ilmu yang cukup. Antara pesan baginda ialah, “Sesiapa yang berbicara tentang apa yang berkaitan dengan al-Quran, tanpa ilmu yang meyakinkan, maka dia telah menempah tempat di dalam Neraka” [Riwayat Ahmad dan Termidhi]. Bahkan dalam sebuah hadis yang lain, Rasulullah berpesan, “Sesiapa yang berbicara tentang perkara yang berkaitan dengan al-Quran dengan pandangannya (yang tidak berasaskan fakta dan dalil), lalu ternyata ia benar selepas itu, sesungguhnya dia tetap salah” [Riwayat Abu Daud dan Termidhi. Hadis ini agak lemah] Dengan kata lain, yang menjadi dosa bukanlah kerana fakta itu betul atau salah, tetapi yang Islam tidak suka ialah sikap bercakap berasaskan agak-agak dan rasa-rasa.
Hatta kalau nak ikut mana-mana mazhab dalam Islam pun, tidak boleh berasaskan rasa-rasa dan agak-agak, tetapi perlu yakin bahawa itu pendapat ulama’ dalam mazhab.


Kesimpulan

Islam cuba sedaya upaya berusaha agar umatnya tidak bertindak dan berkata-kata atas perkara yang tidak berlandaskan fakta. Ceramah politik, atau ceramah motivasi, mahupun agama, landasannya ialah jelas, bukan agak-agak dan bukan sekadar sangkaan. Pesan Rasulullah, “Berhati-hatilah dengan sangkaan, kerana bicara yang paling dusta ialah berlandaskan sangkaan...” [Bukhari, Muslim] Sangkaan, lebih-lebih lagi buruk sangka sesama Islam, apatah lagi terhadap para sahabat dan tabi’in, boleh membawa kepada implikasi yang sangat besar. Menyebarkan berita yang masih belum pasti, boleh merosakkan perniagaan orang lain. Bukan sahaja merosakkan hubungan sesama Islam, bahkan agama pun boleh rosak, kalau yang berbicaranya sekadar agak-agak dan sangkaan sahaja. Dalam Islam, mana-mana mazhab sekalipun, matlamat yang baik, tidak memberi alasan untuk menggunakan cara yang tidak betul. Niat untuk memotivasikan orang, tidak memberi lesen kepada mana-mana pakar motivasi untuk bercakap mudah-mudah menggunakan hadis Nabi dan isu agama.

Islam juga tidak hebat dengan cerita-cerita ajaib yang menjadi spekulasi dalam masyarakat, tetapi hebatnya Islam kerana ketepatannya berasaskan kajian ilmiah.



Tuesday, May 24, 2011

SYAM KAMIKAZE B'TARUNG NYAWA DGN. SYAITAN?

Alhamdulillah seorang lagi artis Malaysia diberi hidayah oleh Allah supaya tidak hanyut dengan duniawi ni…Siapa tak kenal Sham Kamikaze, seorang gitaris hebat. Kehebatan beliau dalam dunia seni 1 ketika dahulu sehinggakan diberi pengikhtirafan menggunakan tandatangan beliau di setiap gitar berjenama Fender, antara jenama gitar yang mantap dan disukai peminat instrument alat muzik ini.

Memang seronok jika diberi peluang untuk berubah dan diberi taufik hidayah oleh Allah…kadang-kadang kita takkan tahu sesuatu yang berlaku pada kita merupakan satu titik tolak pada kita untuk berubah dari buruk kepada yang lebih baik. Tapi dari apa yang dilihat melalui video tersebut memang hidayah itu sesuatu yang tak dijangkakan. Akan tetapi kita kena berusaha dan selalu berdoa kepada Allah untuk diberi petunjuk dari Allah ke jalan yang lurus.

Sham Kamikaze tampak kelihatan berusaha untuk berubah. Dahulu beliau pernah dilihat pakai subang dan gelang namun apabila ditegur bahawa ianya haram, beliau mencari sebab utama tentang tindakan beliau itu lalu terus meninggalkannya. Itulah usaha ke arah hidayah dari Allah untuk menjadi insan yang lebih baik. Tidak berada di takuk yang lama, dan tidak menangguh segala kebaikan yang kita lakukan.

Sama-samala kita berusaha untuk berubah. Menadikan pengalaman Sham Kamikaze sebagai contoh sebab kita takkan tahu macam mana penamat hidup kita. Jadikan kejahatan sebagai tauladan untuk kita menjadi seorang yang lebih beriman. Namun, jangan pula apabila kita telah bermula dengan ketaqwaan,akhirnya mati dalam kekufuran akibat tertipu dengan hasutan syaitan.

Berikut adalah Video Eksklusif Sham Kamikaze. Lihatlah dan hayati dengan baik.






Wednesday, May 4, 2011

WAJARKAH ISLAM MENERIMA BID'AH!!?


Malaysia tidak dapat lari daripada timbul desakan yang kuat dari segolongan umat Islam agar amalan ini dimansuhkan kerana di anggap Bid'ah yang tidak pernah di lakukan oleh Rasulullah s.a.w., malah ia menular dalam amalan harian kita seperti wirid selepas solat, tahlil, membaca Yasin pada malam jumaat dan talkin di kubur.

Ikhtilaf pendapat ini telah MENIMBULKAN PERSELISIHAN DAN PERSENGKETAAN YANG BUKAN SEDIKI, akhirnya akan MENJERUMUSKAN UMAT ISLAM KE KANCAH PERPECAHAN yang tiada penghujung. Oleh itu marilah sama-sama kita bincangkan persoalan ini dengan cara ilmiah, penuh berhikmah dan harmoni.

Bid'ah adalah asal perkataan bahasa Arab yang bermaksud REKAAN BARU atau nama bagi SESUATU YANG BARU YANG DIADA-ADAKAN. Sheikh IZULDIN BIN ABDUL SALAM dalam QAWAID AHKAM memberi erti seperti berikut : Bid'ah itu adalah satu pekerjaan keagamaan yang tidak di kenali pada zaman Rasulullah s.a.w. manakala Imam Syaf'ie r.a. mendefinisikan sebagai segala hal yang baru, yang terdapat setelah Rasulullah s.a.w. wafat dan Khalifah yang ke empat (Khalifah Ar-Rasyidin).

Ulama' fiqh membahagikan Bid'ah kepada dua pendapat :

Pendapat pertama :

Satu cara perbuatan yang di ada-adakan dalam urusan yang tidak pernah berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w. dengan maksud untuk mendampingkan diri kepada Allah s.w.t. kerana ingin mendapat dan menambahkan pahala. Mereka membahagikan hukum ini kepada dua :

1- Bid'ah yang termasuk dalam dosa-dosa kecil, iaitu Bid'ah yang berlaku dalam juzuk-juzuk cabang peribadatan dengan kehendak Al-Quran dan Al-Sunnah.

2- Bid'atun Mazmumah/Sayyiatun/Dzholalah : Rekaan-rekaan baru yang tidak membawa pada sebarang kebaikan pada manusia, bahkan boleh membawa bahaya samada dalam soal kehidupan seharian atau peribadatan.

Menurut pendapat kedua ini, yang menjadi pegangan masyarakat Islam yang bermazhab Ahli sunnahwaljamaah, mereka membahagikan hukum Bid'ah itu kepada lima bahagian seperti yang dinukilkan oleh IBNU HAJRR AL-ASHQALANI i di dalam kitab fatwa baru :

1- Bid'atun wajibah :

Pekerjaan yang masuk dalam perkara wajib dan perintah agama seperti mengumpul dan menyusun mushaf Al-Quran.

2- Bid'atun munduwabah :

iaitu segala yang mendukung perkara sunat seperti mengerjakan solat terawih berjemaah.

3- Bid'atun mubahat :

iaitu segala sesuatu yang menjurus hal-hal yang di bolehkan seperti menaiki kenderaan, makan bermeja dan memakai pakaian berfesyen yang berbagai tetapi menutup aurat.

4- Bid'atun makruh :

Iaitu perkara yang membawa kepada makruh seperti banyak melakukan sembahyang sunat rawatib hingga solat wajib tertunda.

5- Bid'atun muharramah :

Iaitu sesuatu hal yang menjurus perkara yang haram seperti menziarahi kubur orang mati dengan tujuan meminta sesuatu pertolongan atau mengerjakan amalan suluk hingga meninggalkan solat Jumaat.


Mengapa terdapat umat Islam yang menentang amalan Bid'ah ini?. Ini adalah kerana mereka merujuk dan bersandarkan kepada sebuah hadis Rasulullah s.aw. :

(Riwayat Al-Bukhari Muslim)

Bermaksud : " Sesiapa juga mengada-adakan dalam urusan agama kami ini sesuatu pekerjaan ( amalan peribadatan ) yang tiada daripadanya ( yang diadakan ) itu tertolak."

Manakala dalam hadis yang lain, Rasulullah s.aw.bersabda :

(Riwayat Muslim dari Jabir Bin Abdullah).

Bermaksud : " Adapun kemudian daripada itu, maka sesungguhnya sebenar-benar perkataan itu ialah kitab Allah dan sesungguhnya semulia-mulia petunjuk itu ialah petunjuk Muhammad s.a.w. dan sejahat-jahat perkara itu ialah yang di ada-adakan (rekaan baru) dan tiap-tiap yang di adakan itu adalah Bid'ah dan tiap-tiap Bid'ah itu adalah sesat dan tiap-tiap kesesatan itu dalam api neraka."

Walau bagaimanapun, kita sebagai umat Islam yang berpegang kepada aqidah ahli sunah waljamaah dan menganut fahaman mazhab Syafie' yang mendominasi majoriti umat Islam di Malaysia perlu merujuk kepada pendapat beliau mengenai perkara ini.

IMAM SYAFIE’ seperti yang dinukilkan oleh IMAM AL-BAIHAQI dalam kitab 'manaqib' Syafie' dalam 'fathulbari' jilid 17 muka surat 10 menjelaskan yang bermaksud : " Pekerjaan yang baru "Bid'ah" itu DUA MACAM : Pekerjaan kegamaan yang bertentangan dengan Al-Quran, Sunah Nabi, athara dan ijma' ini di namakan Bid'ah Dzholalah. Pekerjaan keagamaan yang baik yang tidak bertentangan dengan salah satu dari yang tersebut di atas, adalah Bid'ah juga, tetapi tidak tercela.

Bacaan BERZANJI adalah tergolong dalam BID’AH HASANAH. Ini adalah kerana di dalamnya mengandungi peristiwa dan keperibadian Rasulullah s.a.w. Dalam setiap bacaan kita sulami dengan selawat ke atas Nabi. Mudah-mudahan kita tergolong dalam apa yang disabdakan Nabi yang bermaksud :" Barangsiapa yang berselawat ke atasKu sekali, maka aku akan gandakan sebanyak 10 kali" Berapa ramai daripada kita yang mengetahui sejarah kehidupan Nabi, siapa nama ibunya, nama datuknya, bila diputarkan dan dan lain-lain lagi.

Generasi hari ini lebih mengenali artis-artis, tetapi tidak untuk menjadikan Rasulullah s.a.w. sebagai ikutan mereka. Maka ketika inilah amalan berzanji ini memainkan peranan untuk menjadikan Baginda Rasulullah s.a.w. sebagai contoh, lebih-lebih lagi amalan itu kini telah dibaca dalam bahasa malaysia dan bukan bahasa Arab yang kurang kita fahami.

Begitu juga membaca wirid selepas solat, bacaan Yasin beramai-ramai atau membaca talkin di kubur. Berapa ramai di kalangan kita yang memperuntukkan masa 10 minit sehari untuk membaca Al-quran atau memuhasabah diri sebelum tidur mengenai hal ehwal mati?. Berdasarkan nisbah ia mungkin boleh dihitung dengan hari sahaja.

Untuk menggambarkan bahawa kita jarang membaca Al-quran, kita kadangkala tidak mempunyai penghujung ayat surah al-qafiruun ketika menghafaz, walaupun ianya adalah ayat lazim, begitu jugalah dengan hal ehwal mati yang mana kita di sunatkan untuk selalu mengingatinya, kerana ia akan datang menjemput kita tanpa di undang.

Maka bacaan talkin di kubur yang begitu menyayukan selepas pengkebumian akan menginsafkan kita, yang mana kita tidak dapat lari dari dimasukkan ke liang lahad itu dan membuat persediaan yang secukupnya dari segala amal dan ketakwaan untuk menjadi syafaat kita berhadapan dengan Allah rabbuljalil.

Sidang jumaat yang dirahmati,

terdapat beberapa perkara keagamaan yang dilakukan di ZAMAN KHALIFAH AR-RASYIDIN dan termasuk dalam kategori BID’AH HASANAH. Antaranya :

1- MEMBUKUKAN AL-QURAN yang di lakukan di zaman Saidina Abu Bakar Al-Siddiq.

2- Melakukan SOLAT TERAWIKH BERJEMAAH yang di perintahkan oleh Saidina Umar Al-Qhattab.

3- Mengadakan AZAN PERTAMA DALAM SOLAT JUMAAT yang di perintahkan oleh Saidina Othman.

Kalau seseorang Khalifah arrasyidin memerintahkan sesuatu amal ibadat, maka sewajarnyalah kita mengikuti dan mengamalkannya, kerana apa yang datang dari mereka pada hakikatnya adalah datang dari Rasulullah sa.w., kerana mereka adalah orang yang hampir, mendengar dan melihat sesuatu pada diri Baginda.

Sebagaimana yang disabdakan Baginda s.a.w. :

(riwayat Abu Daud )

Maksudnya : " Maka WAJIB atasmu MEMEGANG SUNNAHKU dan SUNAH KHALIFAH ARRASYIDIN yang di beri hadiah."

Rasionalnya (sebab ia dipandang hasanah) mengadakan azan pertama dalam solat jumaat sebagai contoh adalah untuk memudahkan umat Islam membuat persediaan yang rapi untuk menunaikan solat jumaat, kerana terdapat umat Islam mutakhir ini yang datang ke masjid hanya memenuhi tanggungjawab solat jumaat tanpa mendengar khutbahnya, hatta ketika Khatib sedang berkhutbah pun, mereka masih berkeliaran di luar masjid kerana berjual beli atau menikmati juadah untuk mengalas perut.

Kita sebagai masyarakat awam hendaklah berpegang dengan fahaman majoriti iaitu bermazhab Syafi'e Tidak salah berfahaman lain, tetapi perlu ada dasar dan dalil yang kukuh untuk berpegang dengannya.

Selain itu adalah menjadi satu kesalahan dan melanggar etika, mereka yang berdakwah dalam masyarakat yang berfahaman lain, sebagai contoh, jika seseorang mengatakan amalan berzanji itu Bid'ah Dzhalalah dalam sebuag kampung yang majoritinya bermazhab Syafi'e, kita amat pasti ia akan di pulukan masyarakat setempat malah mungkin di singkirkan dari kampung tersebut.

Sikap tegas dalam mananggani syirik dan khurafat dalam masyarakat adalah masalah yang di sepakati Ulama' dan sesuatu yang wajar, tetapi di dalam permasalahan khilaf di kalangan Ulama', adalah memerlukan penglihatan terperinci dan saling hormat-menghormati, agar ia tidak merosakkan perpaduan dan persaudaraan Islam kerana itulah sikap yang di ambil oleh para Ulama' dari dulu lagi.

Oleh itu, kita perlu mengutamakan etika dan akhlak daripada emosi apabila berselisih pendapat seperti yang berlaku di zaman Rasulullah s.a.w., apabila para sahabat berbeza pendapat, mereka menggunakan pendekatan takwa serta menjauhi daripada emosi dan runtunan hawa nafsu. Di samping itu kita perlu bersikap sederhana dalam apa juga pandangan dan meninggalkan sikap taksub dalam beragama, kerana ia menjadi faktor penting bagi mencapai kesatuan dan perpaduan sesama insan.

Sikap bekerjasama, bertolak-ansur dan tidak fanatik kepada sesuatu pendapat perlu menjadi teras agar budaya kafir-mengkafir, fasik-memfasik, GELARAN AHLI BID’AH atau ungkapan lain tidak akan berlaku dalam masyarakat.

Mudah-mudahan amalan Bid'ah Hasanah yang kita lakukan selama ini akan mendapat ganjaran sebaiknya dari Allah s.w.t. sebagaimana sebuah hadis Rasulullah s.a.w. yang menjadi hujah Imam Syafi'e apabila membicarakan persoalan Bid'ah ini yang bermaksud :
" BARANGSIAPA yang mengadakan dalam Islam SUNNATUN HASANAH, maka di amalkan orang lain kemudian sunnahnya itu di berikan pahala seperti pahala orang yang mengerjakannya, kemudian dengan tidak mengurangkan sedikit jua daripada pahala orang yang mengerjakannya kemudian. Dan barangsiapa yang mengadakan dalam Islam Sunatun sai'ah, maka di amalkan orang kemudian sunnah buruknya itu, diberikan kepadanya dosa seperti dosa orang yang mengerjakan kemudiannya dengan tidak mengurangi sedikit pun jua dari dosa orang yang mengerjakan kemudian itu. "

(Hadis riwayat Muslim.)

(Surah Al-A'raaf ayat 178.)

Bermaksud : " Sesiapa yang di beri petunjuk oleh Allah (dengan sebab persediaannya), maka dia lah yang beroleh petunjuk, dan sesiapa yang di sesatkan oleh Allah s.w.t. (dengan sebab keingkarannya), maka dia lah orang-orang yang rugi."