Wednesday, December 8, 2010

MAAL HIJRAH - ADAKAH KITA SUDAH BERUBAH ??


Angka yang tercatat dalam Sistem Takwim Hijrah yang ditetapkan oleh Saidina Umar Al-Khattab bertambah lagi satu selepas laungan azan Maghrib oleh mua’zzin di seluruh dunia. Seiring dengan bertambahan tahun ini, usia kita juga bertambah.

Pelbagai peristiwa suka dan duka telah berlaku kepada ummah dan juga diri kita sepanjang tahun yang lalu. Masihkah kita ingat akan serangan komando Israel kepada misi Flotilla? Juga kisah seorang musuh Islam yang ingin membakar Kitab Suci Al-Qur’an telah ditangkap atas tuduhan pornografi kanak-kanak? Perkara-perkara ini haruslah kita jadikan sebagai pedoman dalam usaha kita menjalankan tugas nabi, iaitu berdakwah ke seluruh alam.

Bagaimana pula dengan azam kita? Kebiasaannya, permulaan tahun menjadi pengukur untuk kita memulakan sesuatu yang lebih baik berbanding tahun yang berlalu. Namun begitu, tidak ramai antara kita yang menjadikan Azan Maghrib 1 Muharram sebagai masa menentukan azam untuk tahun mendatang. Kita lebih selesa menggunakan Jam 12.00 tengah malam 1 Januari sebagai petanda untuk memulakan azam baru. Tidakkah kita bangga menggunakan sistem Takwim berasaskan bulan ini?

Di samping itu, kita juga tidak harus lupa akan peristiwa yang mengubah sejarah dunia 1432 tahun yang lalu. Peristiwa yang menjadi permulaan kepada Takwim Hijriah ini. Kisah-kisah di sebalik peristiwa ini sangat penting dalam menjadi pedoman kita mengharungi hari-hari sebagai Khalifah di muka bumi ini.

Masihkah kita ingat dengan kepintaran Rasulullah S.A.W. melalui jalan yang jauh bagi mengelakkan musuh? Juga kisah Suraqa bin Malik yang mengejar baginda lalu kemudiannya mengucapkan syahadah? Keberanian Umar Al-Faruq juga wajar dicontohi kita semua.

Ingatlah kita akan kata-kata seorang ahli falsafah Sepanyol yang sering diulang-ulang di dalam buku teks sejarah KBSM,

‘Those who cannot remember the past are condemned to repeat it‘ - George Santayana

Semoga tahun yang baru tiba ini dapat dimanfaatkan kita semua dan menjadi satu lagi tahun yang dipenuhi dengan rahmat dan keredhaan Allah, InsyaAllah.

0 comments:

Pencinta Islam 1

Pencinta Islam 2