Showing posts with label Amar Ma'ruf Nahi Mungkar. Show all posts
Showing posts with label Amar Ma'ruf Nahi Mungkar. Show all posts

Saturday, May 28, 2011

ASTAGFIRULLAH - ZAKAT ITU IBARAT AH LONG??

Rukun Islam yang utama selepas solat adalah zakat. Zakat merupakan ibadah yang memerlukan seseorang yang cukup syaratnya, mengeluarkan sejumlah harta tertentu. Zakat juga dikenali dengan sedekah wajib. Selain yang wajib, Allah menggalakkan hambanya yang berkemampuan menyedekahkan sejumlah hartanya terutama yang disayanginya. Tidak sedikit ayat al-Quran yang menggesa umat Islam agar memberi sedekah, membelanjakan harta kepada program-program kebajian (fi sabilillah).

Selain boleh mensucikan diri daripada dosa, zakat dan sedekah juga boleh membantu membina produktiviti masyarakat, mengurangkan jurang kekayaan, membantu pengurusan harta yang lebih efisyen melalui re-distribution harta. Bahkan zakat dan sedekah boleh menambah kekayaan seseorang. Hakikatnya, masih tak kedengaran berita orang yang jatuh miskin kerana bersedekah, malah yang kita dengar, makin bertambah kaya!


Firman Allah: "Dan bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredaan Allah dan kerana meneguhkan (iman dan perasaan ikhlas) yang timbul dari jiwa mereka, adalah seperti sebuah kebun di tempat yang tinggi, yang ditimpa hujan lebat, lalu mengeluarkan hasilnya dua kali ganda. Kalau ia tidak ditimpa hujan lebat maka hujan renyai-renyai pun (cukup untuk menyiraminya) dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat akan apa yang kamu lakukan." [al-Baqarah: 265]

Betapa Allah menjanjikan ganjaran yang berlipat kali ganda kepada orang yang bersedekah. Usahkan ganjaran di akhirat, bahkan didunia lagi diganda-gandakan harta mereka yang mahu bersedekah. Allah menjanjikan keampunan dosa kepada mereka yang menunaikan zakat, dan bersedekah harta mereka. Pendek kata, sesiapa yang yakin tentang janji Allah untuk bersedekah, mereka tetap akan bersedekah dalam keadaan mereka bagaimana sekalipun.

Namun begitu Allah mengingatkan kepada kita bahawa setiap kali kita ingin bersedekah, pasti syaitan akan membisikkan bahawa harta kita akan menjadi kurang. Firman Allah:

"Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma) dan dia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat bakhil kedekut); sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripadaNya serta kelebihan kurniaNya dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmatNya, lagi sentiasa Meliputi PengetahuanNya." [al-Baqarah: 268]

Rasa takut harta terkurang akibat bersedekah sebenarnya berpunca daripada bisikan syaitan. Sedekah pada jalan Allah, secara matematiknya, harta kita semakin berkurangan, tetapi secara realistiknya, harta kita semakin bertambah. Ini kerana setiap sedekah itu dinilai sebagai investment oleh Allah.

Dari aspek ekonomi, sedekah dan zakat dianggap proses re-distribution atau proses penyebaran semula harta agar agihan kekayaan lebih adil dan saksama. Teori mudahnya, RM10 bagi orang kaya kadang-kala cuma untuk membasuh kereta, tetapi bagi orang miskin, belanja sehari satu keluarga.

Jika Sedekah Itu Digalakkan? Memintanya Bagaimana?

Islam memang menggalakkan bersedekah, tetapi pada masa yang sama Islam menggalakkan agar menahan diri daripada meminta sedekah. Bersedekah itu sifatnya menyeluruh, mungkin sedekah pada program-program membina jati diri masyarakat, mewakafkan tanah untuk pembangunan projek kebajikan masyarakat, bersedekah pada anak yatim yang tidak berkemampuan untuk bekerja, atau lebih perlu utamakan pelbelajaran daripada bekerja...

Bila Islam menggalakkan bersedekah, itu tidak bermaksud Islam menggalakkan meminta sedekah!! Para peminta sedekah, seringkali menggunakan ayat Quran dan hadis tentang bersedekah untuk menggalakkan orang bersedekah kepada mereka, tetapi pada masa yang sama mereka lupa bahawa Islam amat tidak menyukai sifat meminta-minta. Bahkan Allah merakamkan pujian kepada golongan yang menahan diri daripada meminta-minta di dalam al-Quran.

Firman Allah: " (Pemberian sedekah itu) ialah bagi orang-orang fakir miskin yang telah menentukan dirinya (dengan menjalankan khidmat atau berjuang) pada jalan Allah (membela Islam), yang tidak berupaya mengembara di muka bumi (untuk berniaga dan sebagainya); mereka itu disangka: Orang kaya oleh orang yang tidak mengetahui halnya, kerana mereka menahan diri daripada meminta-minta. Engkau kenal mereka dengan (melihat) sifat-sifat dan keadaan masing-masing, mereka tidak meminta kepada orang ramai dengan mendesak-desak dan (ketahuilah), apa jua yang kamu belanjakan dari harta yang halal maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahuinya. [al-Baqarah: 273]

Sabda Rasulullah s.a.w:
"Kamu meninggalkan waris kamu dalam keadaan kaya lebih baik daripada meninggalkan mereka dalam keadaan miskin dan meminta-minta daripada manusia..." [Bukhari Muslim]

Dalam sebuah hadis lain, Rasulullah bersabda:
"Tangan di atas (yang memberi) lebih baik daripada tangan di bawah (yang meminta-minta).." [Bukhari]

Bahkan dalam Sahih Bukhari, Rasulullah s.a.w bersaba seperti yang dilaporkan oleh Abu Hurayrah dan juga Zubayr bin Awwam:
"Demi Dia Yang jiwaku di Tangan-Nya, seorang yang mengambil tali lalu mengikat kayu api di belangkannya (untuk dijual) lebih baik daripada lelaki yang meminta-minta daripada seseorang, sama ada diberikan sedekah kepadanya atau tidak diberikan [Bukhari, Muslim dan lain-lain dengan lafaz yang berbeza tetapi sama maksudnya]

Menurut Ibn Hajar, pendapat yang paling sahih dalam mazhab Syafi'i pula adalah haram bagi mereka yang berkemampuan untuk bekerja tetapi masih meminta sedekah daripada orang lain.

Islam tidak mengajar umatnya malas bekerja dan meminta-minta. Bahkan asnaf zakat telah ditetapkan daripada golongan miskin yang tidak berkemampuan bekerja, atau pelajar yang lebih perlu mengutamakan pelajaran berbanding bekerja. Bagi mereka yang miskin tetapi berkemampuan bekerja, para Rasulullah dan para sahabat menegah daripada menerima zakat dalam bentuk bantuan wang, tetapi boleh menerima dalam bentuk bantuan untuk modal untuk memulakan kerja.

Yang dibolehkan meminta sedekah ialah mereka yang tidak mampu bekerja seperti kanak-kanak, wanita tua, OKU yang sukar bekerja, atau patut tumpukan kepada pelajaran daripada bekerja, seperti kanak-kanak dan remaja.

Bersedekah Menjana Produktiviti - Meminta Sedekah Mengurangkan Produktiviti


Berbeza dengan bersedekah yang boleh meningkatkan produktviti masyarakat. Dengan bersedekah, masyarakat miskin boleh turut membeli-belah, dan dengan membeli-belah, bertambah permintaan dan bertambahlah penawaran dan penghasilan produk. Ertinya, produktiviti semakin meningkat.

Namun jika orang yang berkemampuan untuk bekerja meminta sedekah, produktiviti masyarakat semakin menurun. Berlakunya pembaziran modal insan yang wajar digunakan pada tempat yang sepatutnya. Negara bukan cukup tenaga pun untuk menyumbang kepada pembangunan.

Jika seorang yang miskin mengusahakan tanah contohnya. Dia boleh menjual hasil tanahnya dan menyumbang kepada pembangunan negara. Kadang-kala kita melihat ada orang bertungkus-lumus menbuat kuih dan menjualnya demi mendapatkan seringgit. Sedangkan pada masa yang sama ada yang sihat tubuh badan, cuma dengan muka selamba tanpa malu meminta seringgit tanpa kos.

Sumbangan yang diberikan, tanpa pertukaran dengan barangan, menyebabkan pengaliran wang tanpa balasan dan ini memberi kesan yang tidak baik kepada produktiviti masyarakat. Islam menggalakan perusahan agar masyarkat produktif. Tidak sekadar mengalirkan wang, tanpa balasan sebuah produk atau perkhidmatan kerana ini turut menyumbang kepada peningkatan inflasi.

Kesimpulan


Tegasnya, galakan bersedekah oleh Islam adalah untuk membangunkan insitusi masyarakat yang tidak produktif menjadi produktif, seperti institusi pendidikan masyarakat, pembangunan modal insan, masyarakat yang ditakdirkan lemah untuk bekerja. Mereka ini amat memerlukan bantuan kita semua untuk bersedekah.
Atas sebab itu Islam mewajibkan zakat dan mengandakan wang dan harta bagi mereka yang rajin bersedekah.

Namun pada masa yang sama Islam amat tidak menggalakkan meminta sedekah, terutama bagi mereka yang berkemampuan, kerana sifat ini tidak menggalakkan produktiviti dalam masyarakat. Adalah menjadi falsafah ekonomi Islam untuk menyokong apa jua aktiviti yang produktif, dan membanteras aktiviti yang tidak produktif. Sebarang aktiviti pengaliran wang pada sektor yang tidak produktif, hanya akan merosakkan sistem masyarakat. Mereka yang berkemampuan untuk bekerja, lalu meminta sedekah, menjadikan insitusi masyarakat tidak produktif.

Dalam konteks yang sama, sebarang skim atau aktiviti yang mengalirkan wang tanpa apa-apa timbal balas produk yang berpatutan, juga hanya mengurangkan produktiviti dalam masyarakat. Skim pelaburan piramid contohnya, adalah salah satu bentuk pengaliran wang yang tidak produktif dan merosakkan masyarakat. Hakikatnya skim piramid sama sahaja dengan meminta sedekah, wang di beri kepada orang 'atas' dan wang lain diminta daripada 'orang bawah'.

Islam menggalakkan umatnya bekerja dengan tangan mereka sendiri. Menghasilkan produk yang bermutu tinggi, lalu mengedarkan dalam masyarakat untuk mendapatkan balasan wang. Itulah sistem ekonomi yang produktif, tetapi sistem sedekah akan merosakkan masyarakat jika terus disalahfahami.


Thursday, May 26, 2011

UMAT ISLAM BERILMU - JAUHI AMALAN BONGKAK.

RM10 bagi orang kaya, tidaklah mempunyai “nilai” yang sebesar orang miskin. Jumlah RM10 tetap sama, tetapi apa yang berbeza ialah “nilai” sesuatu itu. RM10 bagi orang berpendapatan tinggi, mungkin hanya secawan teh tarik di hotel (itu pun minum cuma separuh cawan), tetapi RM10 bagi orang miskin adalah pendapatan sehari mereka, yang cukup untuk makan satu keluarga. Dalam ekonomi, teori ini dipanggil sebagai teori marginal. Merupakan salah satu teori penting dalam ekonomi Keynes. Teori marginal mengukur perubahan sesuatu berasaskan kepada peningkatan kedudukan sumbernya. Dalam teori kepenggunaan, teori marginal menganggap, “nilai” bagi sesuatu akan semakin mengecil apabila semakin besar pendapatannya.

Teori ini sangat berguna dalam ekonomi. Sebab itulah Islam telah menetapkan sebanyak 2.5% potongan zakat terhadap harta yang telah cukup jumlah terkumpul yang tertentu yang pada kebiasaannya tidak digunakan untuk tempoh tertentu. Islam tidak mengenakan zakat kepada semua orang, tetapi hanya orang yang berpendapatan tinggi.


Teori Marginal Dalam Ilmu

Teori marginal mungkin sesuai untuk dibicarakan dalam soal harta, tetapi dalam soal ilmu, ia sepatutnya menjadi terbalik. Dengan kata lain, “nilai” bagi satu-satu ilmu sewajarnya dianggap lebih tinggi bagi mereka yang mempunyai ilmu yang tinggi. Dengan kata lain, orang yang berilmu tidak akan memperkecilkan sesuatu pengetahuan, walaupun ia kelihatan seperti pengetahuan yang remeh-temeh.

Dalam hukum ilmu, hanya mereka yang jahil yang akan menganggap ilmu itu tidak penting. Semakin seseorang itu berpengetahuan, sepatutnya semakin tinggi penilaiannya terhadap ilmu, tidak kira daripada siapa pun datangnya ilmu itu, daripada guru, cikgu, peruncit, penyapu sampah, pencuci tandas, nelayan, buruh binaan, mahupun daripada seorang murid.

Ilmu tidak semestinya datang daripada seorang guru kepada seorang murid, tetapi kerap kali juga datang daripada seorang yang dianggap murid kepada seorang guru. Atas sebab itu, sifat ego harus dibuang dalam diri mereka yang mencintai ilmu secara jujur. Jika dalam hatinya ada rasa bahawa hanya dia layak bercakap dalam satu-satu bidang, dan orang lain tidak tahu seperti apa yang dia tahu, maka dia telah melanggar pantang-larang seorang yang menuntut ilmu. Dengan bahasa mudahnya, sifat itu telah membuatnya kembali ke arah kejahilan.

Diceritakan dalam al-Quran bahawa Nabi Sulaiman a.s, pernah belajar cuma daripada seekor burung. Bahkan, Abu Hurayrah r.a, seperti yang diceritakan dalam hadis tentang kelebihan ayat al-Qursi, pernah belajar daripada Syaitan! Suatu ketika Rasulullah mewakilkan Abu Hurayrah r.a menjaga harta zakat, kemudian pada malam itu, datang seseorang, lantas mencuri makanan, lalu dapat ditangkap oleh Abu Hurayrah r.a. katanya kepada si pencuri itu, “Aku akan bawakan kamu kepada Rasulullah.” Oleh kerana tidak mahu dibawakan kepada Rasulullah, maka orang itu mengajar sesuatu kepada Abu Hurayrah, “Jika kamu mahu tidur, bacalah ayat al-Kursi, nescaya Allah akan sentiasa menjadi penjaga bagimu dan syaitan tidak akan mengganggumu hingga subuh.” Abu Hurayrah menceritakan kepada Nabi hal itu, lalu Rasulullah s.a.w bersabda, “Orang itu bercakap benar kepada kamu sedangkan dia sebenarnya pendusta besar, itulah Syaitan.” [Sahih Bukhari, Fadhail Surah al-Baqarah, No. 4624]

Benar, dalam kisah Abu Hurayrah itu, apa yang diceritakan daripada Syaitan itu tidak semestinya boleh terus diterima pakai, kecuali setelah disahkan benar oleh Rasulullah s.a.w. Tetapi antara pengajaran penting dalam kisah itu, dalam seorang itu menuntut ilmu, mereka tidak boleh hadkan hanya perlu belajar daripada mereka yang dianggap lebih tinggi ilmunya. Ilmu boleh datang daripada sesiapa sahaja. Profesor universiti tidak perlu mendabik dada dengan panjangnya CV mereka dengan penyelidikan dan penerbitan hingga menolak untuk membaca bacaan ringan daripada majalah ataupun blog ‘orang biasa’.


Hakikat Ilmu

Allah s.w.t berpesan dalam al-Quran, “Dan di atas setiap yang punyai ilmu, ada yang Maha Mengetahui.” Inilah yang perlu selalu diingatkan terhadap mereka yang mendalami ilmu, tidak kira peringkat diploma mahupun professor yang melakukan penyelidikan. Memahami ilmu yang semuanya hak milik Allah, seseorang itu pasti tidak akan mensia-siakan ilmu walau daripada siapa ia datang, kerana seringkali Allah mendatangkan ilmu daripada orang yang dianggap lebih kurang berilmu. Seringkali seorang yang berilmu akan mendapat ilmu daripada pertanyaan orang yang tidak berilmu.

Memperkecilkan sebarang bentuk pengetahuan cuma akan membentuk mental-block dalam minda seseorang. Mental-block ini seterusnya akan membina ego dan inilah yang memusnahkan jiwa orang yang dianggap berilmu. Ego dan sombong hanya layak menjadi pakaian bagi Allah, tetapi iblis telas dilaknat kerana turut cuba mahu turut memakainya. Sifat inilah yang harus dijauhi daripada seorang yang berilmu. Sumber pengetahuan tidak terhad kepada PhD atau professor sahaja, kerana professor universiti sendiri biasanya menghasilkan penyelidikan dengan soal selidik terhadap masyarakat awam. Yang penting adalah tahap kredibiliti ilmu itu sendiri.

Teori Marginal Ilmu adalah berbeza dengan teori marginal kepenggunaan. Semakin tinggi ilmu seseorang, semakin tinggi “nilai” terhadap sebarang pertambahan ilmu.

Friday, November 26, 2010

P'JUANGAN AMAR MA'RUF NAHI MUNGKAR !!

Hadis diriwayatkan oleh al-lmam Muslim.
Daripada Abu Sa'id al-Khudrie r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa di kalangan kamu melihat suatu kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Sekiranya dia tidak mampu maka hendaklah dia mengubahnya dengan lidahnya. Sekiranya dia tidak mampu maka hendaklah dia mengubahnya dengan hatinya. Yang sedemikian itu adalah selemah-lemah iman.

Melaksanakan Amar ma’ruf dan nahi mungkar merupakan faktor penentu ciri umat terbaik, berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia (kerana) kamu menyuruh melakukan kebaikan dan melarang daripada melakukan kemungkaran, serta kamu pula beriman kepada Allah. 
Ali Imran 3:110

Melaksanakan Amar ma’ruf dan nahi mungkar merupakan penjamin kepada kesejahteraan umat keseluruhannya. Pendapat yang masyhur menyatakan pelaksanaan amar ma’ruf dan nahi mungkar adalah Fardhu Kifayah, maka jika sebahagian umat Islam telah melaksanakannya, maka baki selainnya tidak lagi bertanggungjawab. Hukum Fardhu Kifayah disandarkan kepada dalil berikut:

Dan hendaklah (sebahagian) kamu menyeru (berdakwah) kepada kebajikandan menyuruh yang ma’ruf serta melarang daripada yang mungkar.Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.
Ali Imran 3:104


APAKAH MAKSUD AMAR MA'RUF NAHI MUNGKAR?
Mengajak, menyuruh dan menyeru ke arah kebaikan dan mencegah atau menghalang daripada melakukan perkara-perkara mungkar atau ayng ditegah oleg syarak.

APAKAH RELEVENNYA MENGAMALKAN AMAR MA'RUF NAHI MUNGKAR ??
  1. Dapat menegakkan hukum Allah dan Syariat Islam
  2. Gejala sosial yang berlaku dapat diatasi
  3. Pembangunan masyarakat berjalan lancar
  4. Ekonomi bertambah baik dan mantap
  5. Keselamatan terjamin
  6. Dapat mengangkat martabat agama dan umat Islam
  7. Dapat memelihara maruah, harta, keturunan dan hak  individu dan hak awam.

    CARA AMAR MAARUF NAHI MUNKAR YANG DILAKUKAN OLEH RASULULLAH SAW.
    1. Memilih masa dan tempat yg sesuai utk beri nasihat
    2. Berdakwah secara diplomasi contohnya baginda menggunakan cincin yang berukir nama baginda Rasulullah saw untuk menandatagani surat-surat yg dikirimkan kepada para pembesar.
    3. Meninggalkan perkara yg tidak memudaratkan utk maslahatan yg lebih besar contoh, baginda tidak meruntuhkan Kaabah yg dipenuhi patung berhala selepas Fathu Mekah. Baginda hanya membuang berhala drpd Kaabah shj.
    4. Memberi hadiah kepada mereka yang baru berjinak dengan agama. Baginda sangat menghormati pembesar Quraisy.
    5. Melembutkan hati dengan kata-kata, perbuatan dan muamalat yang baik seperti menolong wanita Yahudi
    6. Memberi kemaafan dalam keadaan yang boleh baginda menuntut bela sprt melayani dgn baik keluarga Abu Sufian ketika pembukaan Mekah
    7. Menceritakan sesuatu berdasarkan kisah-kisah umat terdahulu sebagai iktibar


    KESAN JIKA AMALAN MUNGKAR BERLELUASA
    1. Kemungkaran/maksiat berleluasa
    2. Masyarakat hidup huruhara
    3. Ajaran Islam tidakber- kembang.

    Pencinta Islam 1

    Pencinta Islam 2