Saturday, May 28, 2011

ASTAGFIRULLAH - ZAKAT ITU IBARAT AH LONG??

Rukun Islam yang utama selepas solat adalah zakat. Zakat merupakan ibadah yang memerlukan seseorang yang cukup syaratnya, mengeluarkan sejumlah harta tertentu. Zakat juga dikenali dengan sedekah wajib. Selain yang wajib, Allah menggalakkan hambanya yang berkemampuan menyedekahkan sejumlah hartanya terutama yang disayanginya. Tidak sedikit ayat al-Quran yang menggesa umat Islam agar memberi sedekah, membelanjakan harta kepada program-program kebajian (fi sabilillah).

Selain boleh mensucikan diri daripada dosa, zakat dan sedekah juga boleh membantu membina produktiviti masyarakat, mengurangkan jurang kekayaan, membantu pengurusan harta yang lebih efisyen melalui re-distribution harta. Bahkan zakat dan sedekah boleh menambah kekayaan seseorang. Hakikatnya, masih tak kedengaran berita orang yang jatuh miskin kerana bersedekah, malah yang kita dengar, makin bertambah kaya!


Firman Allah: "Dan bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredaan Allah dan kerana meneguhkan (iman dan perasaan ikhlas) yang timbul dari jiwa mereka, adalah seperti sebuah kebun di tempat yang tinggi, yang ditimpa hujan lebat, lalu mengeluarkan hasilnya dua kali ganda. Kalau ia tidak ditimpa hujan lebat maka hujan renyai-renyai pun (cukup untuk menyiraminya) dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat akan apa yang kamu lakukan." [al-Baqarah: 265]

Betapa Allah menjanjikan ganjaran yang berlipat kali ganda kepada orang yang bersedekah. Usahkan ganjaran di akhirat, bahkan didunia lagi diganda-gandakan harta mereka yang mahu bersedekah. Allah menjanjikan keampunan dosa kepada mereka yang menunaikan zakat, dan bersedekah harta mereka. Pendek kata, sesiapa yang yakin tentang janji Allah untuk bersedekah, mereka tetap akan bersedekah dalam keadaan mereka bagaimana sekalipun.

Namun begitu Allah mengingatkan kepada kita bahawa setiap kali kita ingin bersedekah, pasti syaitan akan membisikkan bahawa harta kita akan menjadi kurang. Firman Allah:

"Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma) dan dia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat bakhil kedekut); sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripadaNya serta kelebihan kurniaNya dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmatNya, lagi sentiasa Meliputi PengetahuanNya." [al-Baqarah: 268]

Rasa takut harta terkurang akibat bersedekah sebenarnya berpunca daripada bisikan syaitan. Sedekah pada jalan Allah, secara matematiknya, harta kita semakin berkurangan, tetapi secara realistiknya, harta kita semakin bertambah. Ini kerana setiap sedekah itu dinilai sebagai investment oleh Allah.

Dari aspek ekonomi, sedekah dan zakat dianggap proses re-distribution atau proses penyebaran semula harta agar agihan kekayaan lebih adil dan saksama. Teori mudahnya, RM10 bagi orang kaya kadang-kala cuma untuk membasuh kereta, tetapi bagi orang miskin, belanja sehari satu keluarga.

Jika Sedekah Itu Digalakkan? Memintanya Bagaimana?

Islam memang menggalakkan bersedekah, tetapi pada masa yang sama Islam menggalakkan agar menahan diri daripada meminta sedekah. Bersedekah itu sifatnya menyeluruh, mungkin sedekah pada program-program membina jati diri masyarakat, mewakafkan tanah untuk pembangunan projek kebajikan masyarakat, bersedekah pada anak yatim yang tidak berkemampuan untuk bekerja, atau lebih perlu utamakan pelbelajaran daripada bekerja...

Bila Islam menggalakkan bersedekah, itu tidak bermaksud Islam menggalakkan meminta sedekah!! Para peminta sedekah, seringkali menggunakan ayat Quran dan hadis tentang bersedekah untuk menggalakkan orang bersedekah kepada mereka, tetapi pada masa yang sama mereka lupa bahawa Islam amat tidak menyukai sifat meminta-minta. Bahkan Allah merakamkan pujian kepada golongan yang menahan diri daripada meminta-minta di dalam al-Quran.

Firman Allah: " (Pemberian sedekah itu) ialah bagi orang-orang fakir miskin yang telah menentukan dirinya (dengan menjalankan khidmat atau berjuang) pada jalan Allah (membela Islam), yang tidak berupaya mengembara di muka bumi (untuk berniaga dan sebagainya); mereka itu disangka: Orang kaya oleh orang yang tidak mengetahui halnya, kerana mereka menahan diri daripada meminta-minta. Engkau kenal mereka dengan (melihat) sifat-sifat dan keadaan masing-masing, mereka tidak meminta kepada orang ramai dengan mendesak-desak dan (ketahuilah), apa jua yang kamu belanjakan dari harta yang halal maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahuinya. [al-Baqarah: 273]

Sabda Rasulullah s.a.w:
"Kamu meninggalkan waris kamu dalam keadaan kaya lebih baik daripada meninggalkan mereka dalam keadaan miskin dan meminta-minta daripada manusia..." [Bukhari Muslim]

Dalam sebuah hadis lain, Rasulullah bersabda:
"Tangan di atas (yang memberi) lebih baik daripada tangan di bawah (yang meminta-minta).." [Bukhari]

Bahkan dalam Sahih Bukhari, Rasulullah s.a.w bersaba seperti yang dilaporkan oleh Abu Hurayrah dan juga Zubayr bin Awwam:
"Demi Dia Yang jiwaku di Tangan-Nya, seorang yang mengambil tali lalu mengikat kayu api di belangkannya (untuk dijual) lebih baik daripada lelaki yang meminta-minta daripada seseorang, sama ada diberikan sedekah kepadanya atau tidak diberikan [Bukhari, Muslim dan lain-lain dengan lafaz yang berbeza tetapi sama maksudnya]

Menurut Ibn Hajar, pendapat yang paling sahih dalam mazhab Syafi'i pula adalah haram bagi mereka yang berkemampuan untuk bekerja tetapi masih meminta sedekah daripada orang lain.

Islam tidak mengajar umatnya malas bekerja dan meminta-minta. Bahkan asnaf zakat telah ditetapkan daripada golongan miskin yang tidak berkemampuan bekerja, atau pelajar yang lebih perlu mengutamakan pelajaran berbanding bekerja. Bagi mereka yang miskin tetapi berkemampuan bekerja, para Rasulullah dan para sahabat menegah daripada menerima zakat dalam bentuk bantuan wang, tetapi boleh menerima dalam bentuk bantuan untuk modal untuk memulakan kerja.

Yang dibolehkan meminta sedekah ialah mereka yang tidak mampu bekerja seperti kanak-kanak, wanita tua, OKU yang sukar bekerja, atau patut tumpukan kepada pelajaran daripada bekerja, seperti kanak-kanak dan remaja.

Bersedekah Menjana Produktiviti - Meminta Sedekah Mengurangkan Produktiviti


Berbeza dengan bersedekah yang boleh meningkatkan produktviti masyarakat. Dengan bersedekah, masyarakat miskin boleh turut membeli-belah, dan dengan membeli-belah, bertambah permintaan dan bertambahlah penawaran dan penghasilan produk. Ertinya, produktiviti semakin meningkat.

Namun jika orang yang berkemampuan untuk bekerja meminta sedekah, produktiviti masyarakat semakin menurun. Berlakunya pembaziran modal insan yang wajar digunakan pada tempat yang sepatutnya. Negara bukan cukup tenaga pun untuk menyumbang kepada pembangunan.

Jika seorang yang miskin mengusahakan tanah contohnya. Dia boleh menjual hasil tanahnya dan menyumbang kepada pembangunan negara. Kadang-kala kita melihat ada orang bertungkus-lumus menbuat kuih dan menjualnya demi mendapatkan seringgit. Sedangkan pada masa yang sama ada yang sihat tubuh badan, cuma dengan muka selamba tanpa malu meminta seringgit tanpa kos.

Sumbangan yang diberikan, tanpa pertukaran dengan barangan, menyebabkan pengaliran wang tanpa balasan dan ini memberi kesan yang tidak baik kepada produktiviti masyarakat. Islam menggalakan perusahan agar masyarkat produktif. Tidak sekadar mengalirkan wang, tanpa balasan sebuah produk atau perkhidmatan kerana ini turut menyumbang kepada peningkatan inflasi.

Kesimpulan


Tegasnya, galakan bersedekah oleh Islam adalah untuk membangunkan insitusi masyarakat yang tidak produktif menjadi produktif, seperti institusi pendidikan masyarakat, pembangunan modal insan, masyarakat yang ditakdirkan lemah untuk bekerja. Mereka ini amat memerlukan bantuan kita semua untuk bersedekah.
Atas sebab itu Islam mewajibkan zakat dan mengandakan wang dan harta bagi mereka yang rajin bersedekah.

Namun pada masa yang sama Islam amat tidak menggalakkan meminta sedekah, terutama bagi mereka yang berkemampuan, kerana sifat ini tidak menggalakkan produktiviti dalam masyarakat. Adalah menjadi falsafah ekonomi Islam untuk menyokong apa jua aktiviti yang produktif, dan membanteras aktiviti yang tidak produktif. Sebarang aktiviti pengaliran wang pada sektor yang tidak produktif, hanya akan merosakkan sistem masyarakat. Mereka yang berkemampuan untuk bekerja, lalu meminta sedekah, menjadikan insitusi masyarakat tidak produktif.

Dalam konteks yang sama, sebarang skim atau aktiviti yang mengalirkan wang tanpa apa-apa timbal balas produk yang berpatutan, juga hanya mengurangkan produktiviti dalam masyarakat. Skim pelaburan piramid contohnya, adalah salah satu bentuk pengaliran wang yang tidak produktif dan merosakkan masyarakat. Hakikatnya skim piramid sama sahaja dengan meminta sedekah, wang di beri kepada orang 'atas' dan wang lain diminta daripada 'orang bawah'.

Islam menggalakkan umatnya bekerja dengan tangan mereka sendiri. Menghasilkan produk yang bermutu tinggi, lalu mengedarkan dalam masyarakat untuk mendapatkan balasan wang. Itulah sistem ekonomi yang produktif, tetapi sistem sedekah akan merosakkan masyarakat jika terus disalahfahami.


0 comments:

Pencinta Islam 1

Pencinta Islam 2