Wednesday, May 25, 2011

JANGAN HINA ISLAM DGN. AJARAN PENIPU.

Menyebarkan maklumat itu bagus, tetapi kalau menyebarkan berita-berita yang belum pasti, setakat agak-agak atau pun cuma rasa-rasa, itu banyak mengundang kerosakan berbanding kebaikan. Maklumat pasal makanan halal di facebook contohnya, banyak yang salah daripada yang betul. Kenapa tidak dirujuk direktori JAKIM berbanding sharing maklumat yang belum pasti? Hasilnya, tersebarlah spekulasi yang bukan-bukan.. yang menyebarkan dah lepas tangan. Islam bukan agama yang suka perkara yang belum pasti, Islam seboleh-bolehnya mengajar umatnya berbicara dengan keyakinan dan maklumat yang konkrit

Islam tidak pernah mengajar umatnya bercakap atas "rasa-rasa", atau sekadar "agak-agak". Tetapi Islam amat tegas soal keyakinan dan kepastian. Namun, perkara ini sering diabaikan oleh masyarakat. Alasan seperti untuk tujuan "berhati-hati" atau "tujuan baik" sering menjadi sebab utama maklumat begitu mudah disebarkan, bahkan diamalkan. Lebih-lebih lagi kalau baca berita cakap ahli politik, hanya sedikit sekali bicara mereka berasaskan fakta, banyak yang berasaskan speksulasi, yang belum tentu benar, tetapi dibesarkan bagaikan fakta. Lebih bahaya kalau yang diceritakan berasaskan "rasa-rasa" dan agakan itu adalah perkara yang berkaitan dengan hukum agama, persepsi agama, sejarah Nabi, para sahabat serta para ulama yang muktabar.


Islam Bermula Dengan Keyakinan

Bayangkan jika anda menaiki sebuah teksi yang anda ragui pengetahuan pemandu teksi tentang lokasi yang anda ingin pergi. Apa yang anda rasa? Sudah tentu rasa tidak selesa, pusingan terlalu banyak, meter RM semakin naik pula. Atau anda masuk hutan, tetapi penunjuk jalan sekadar main agak-agak dan rasa-rasa. Sudah tentu tak selamat. Begitulah dalam akidah Islam, kalau setakat ikut-ikut dan agak-agak, ia masih belum mencapai tahap keyakinan, sekurang-kurangnya, keyakinan pada tahap ilmu dan logik akal. Sebab itu Allah sentiasa mencabar manusia supaya menggunakan akal untuk mengkaji, meneliti, memerhati, menyelidiki apa jua ciptaanNya, agar manusia dapat keyakinan tentang ketuhananNya.

Akidah Islam bermula dengan keyakinan, kerana sifat Iman itu sendiri ialah suatu keyakinan yang jita terhadap keESAan Allah, para Rasul dan peranannya, sistem penyampaian Allah melalui kitab-kitab suciNya, peranan para Malaikat, kewujudan hari kiamat dan alam ghaib, serta ketentuan Allah untuk manusia. Bahkan Allah berfirman: "Itulah kitab yang tidak ada keraguan padanya, yang menjadi petunjuk kepada orang-orang yang bertaqwa" [al-Baqarah: 2]. Islam tidak mengiktiraf iman seseorang yang sekadar ikut-ikutan, atau melalui paksaan. Bagi Syariah Islam, sesuatu yang diikuti perlukan suatu bukti yang meyakinan, mententeramkan jiwa untuk mengikutinya.


Ibadah Dalam Keadaan Meyakinan

Apabila seseorang itu ingin menunaikan sembahyang, dalam kepalanya mesti ada keyakinan dahulu bahawa dia masih ada wuduk, atau dalam keadaan berhadas. Jika dalam keadaan berhadas, dia perlu mengambil wuduk, dan jika rasa masih dalam keadaan berwuduk, maka teruslah sembahyang, tanpa agak-agak atau ragu-ragu. Bahkan fekah Islam memberikan kaedah khusus untuk membuang sifat yang berasaskan agak-agak dan sangkaan ini, iaitu lihat kepada situasi asal. Jika pada asalnya kita yakin kita telah mengambil wuduk, dan ragu-ragu tentang bila batalnya wuduk, maka itu tandanya kita masih berwuduk. Begitu juga jika kita yakin yang kita dalam keadaan berhadas kecil, tetapi ragu-ragu adakah kita dah ambil wuduk atau tidak, maksudnya kita masih lagi berhadas.

Mengapa konsep ini wujud? Tujuannya untuk mengelakkan kita beramal dalam keadaan sangkaan, rasa-rasa, atau agak-agak. Adalah tidak sah kita berwuduk kali kedua dalam keadaan kita agak-agak sama ada masih ada wuduk atau sudah berhadas, tetapi kena cari jalan untuk lihat pada asal situasi. Sebab itu Rasulullah bersabda, "Tinggalkanlah apa yang meragukan kamu, kepada apa yang tidak meragukan kamu. Kerana kebenaran itu menenangkan jiwa dan pendustaan itu mengundah gulanakan hati" [Riwayat Termidhi].


Bertindak Berasaskan Keyakinan dan Fakta

Dalam komunikasi Islam, Allah memerintahkan kita memeriksa setiap maklumat yang diterima, sebelum menyebarkannya. Firman Allah: "Apabila datang kepada kamu orang yang fasik membawa berita, maka hendaklah selidiki dahulu.. [al-Hujurat: 16]. Ini kerana jika sebarkan pekara tanpa menyelidik, hanya menimbulkan spekulasi yang merosakkan masyarakat. Bahkan boleh menimbulkan keraguan dalam masyarakat. Atas sebab itu jangan mudah "Share" atau "Kongsi" informasi yang diterima, lebih-lebih lagi daripada facebook, atau email forward, sebelum diteliti terlebih dahulu asasnya. Contohnya kerap kali timbul isu tentang sijil halal makanan dan sesuatu produk, disebarkan dalam medium seperti facebook dan email. Yang menyebarkan itu sendiri tidak pernah menyelidik maklumat, yang membaca dan turut sebarkan itu pun sama. Adalah lebih baik semak daripada Jakim dahulu, atau tak perlu sebarkan dengan mudah, walaupun ditulis pada artikel itu "TOLONG SEBARKAN!"


Memang benar, ada sebuah hadis yang Rasulullah SAW, berpesan "Sampaikanlah apa-apa daripadaku walau sepotong ayat..." [Sahih Bukhari daripada Abdullah Ibn 'Amr] Atas dasar itu, maka dijadikan alasan untuk disebarkan semua cerita berkenaan dengan agama, tanpa menyelidik terlebih dahulu. Itu sikap yang salah, kerana Islam tidak berdiri atas spekulasi, tetapi berdiri di atas fakta. Hadis tersebut sepatutnya dibaca sehingga habis, yang mana akhir hadis itu Rasulullah memberi amaran yang keras, “...maka sesiapa yang berdusta dengan sengaja atas namaku, maka dia telah menempah tempat di dalam Neraka!” Dengan kata lain, berdusta menggunakan nama Nabi dianggap dosa yang besar, jika sengaja. Bahkan jika sengaja tidak memeriksa kandungan hadis, dan sebarkan sebagai fakta dan hadis daripada Nabi pun satu dosa. Namun apa yang ingin diperkatakan di sini adalah Islam mengecam sikap bercakap atas ilmu yang sekadar rasa-rasa dan agak-agak. Setiap fakta mesti diteliti dahulu, bila dah yakin baru sebarkan. Jika tersalah dalam keadaan itu baharu dimaafkan.


Lihatlah betapa ramai sahabat dan para Tabi‘in serta pemerintah Islam yang hebat dizalimi oleh umat Islam sendiri, akibat menyebarkan sesuatu berasaskan agak-agak dan rasa-rasa ini. Tha’labah r.a, ‘Alqamah r.a., Sayyidina Muawiyah r.a, dan anaknya Yazid, bahkan khalifah Abd Malik dan Marwan, sering menjadi ‘mangsa’ sejarah yang disebarkan oleh mereka yang kurang teliti dalam memindahkan fakta. Asal jumpa dalam karya sirah sahaja, terus dirembat buat modal ceramah. Ini sangat bahaya kerana mereka ini adalah kunci kepada kekuatan Islam. Jika mereka ini dijadikan ‘contoh buruk’ dalam ceramah politik atau agama, implikasi terhadap Islam sangatlah besar.


Rasulullah s.a.w melarang keras seseorang itu bercakap tentang isu agama kalau sekadar agak dan sangkaan tanpa ilmu yang cukup. Antara pesan baginda ialah, “Sesiapa yang berbicara tentang apa yang berkaitan dengan al-Quran, tanpa ilmu yang meyakinkan, maka dia telah menempah tempat di dalam Neraka” [Riwayat Ahmad dan Termidhi]. Bahkan dalam sebuah hadis yang lain, Rasulullah berpesan, “Sesiapa yang berbicara tentang perkara yang berkaitan dengan al-Quran dengan pandangannya (yang tidak berasaskan fakta dan dalil), lalu ternyata ia benar selepas itu, sesungguhnya dia tetap salah” [Riwayat Abu Daud dan Termidhi. Hadis ini agak lemah] Dengan kata lain, yang menjadi dosa bukanlah kerana fakta itu betul atau salah, tetapi yang Islam tidak suka ialah sikap bercakap berasaskan agak-agak dan rasa-rasa.
Hatta kalau nak ikut mana-mana mazhab dalam Islam pun, tidak boleh berasaskan rasa-rasa dan agak-agak, tetapi perlu yakin bahawa itu pendapat ulama’ dalam mazhab.


Kesimpulan

Islam cuba sedaya upaya berusaha agar umatnya tidak bertindak dan berkata-kata atas perkara yang tidak berlandaskan fakta. Ceramah politik, atau ceramah motivasi, mahupun agama, landasannya ialah jelas, bukan agak-agak dan bukan sekadar sangkaan. Pesan Rasulullah, “Berhati-hatilah dengan sangkaan, kerana bicara yang paling dusta ialah berlandaskan sangkaan...” [Bukhari, Muslim] Sangkaan, lebih-lebih lagi buruk sangka sesama Islam, apatah lagi terhadap para sahabat dan tabi’in, boleh membawa kepada implikasi yang sangat besar. Menyebarkan berita yang masih belum pasti, boleh merosakkan perniagaan orang lain. Bukan sahaja merosakkan hubungan sesama Islam, bahkan agama pun boleh rosak, kalau yang berbicaranya sekadar agak-agak dan sangkaan sahaja. Dalam Islam, mana-mana mazhab sekalipun, matlamat yang baik, tidak memberi alasan untuk menggunakan cara yang tidak betul. Niat untuk memotivasikan orang, tidak memberi lesen kepada mana-mana pakar motivasi untuk bercakap mudah-mudah menggunakan hadis Nabi dan isu agama.

Islam juga tidak hebat dengan cerita-cerita ajaib yang menjadi spekulasi dalam masyarakat, tetapi hebatnya Islam kerana ketepatannya berasaskan kajian ilmiah.



Pencinta Islam 1

Pencinta Islam 2