Thursday, May 26, 2011

UMAT ISLAM BERILMU - JAUHI AMALAN BONGKAK.

RM10 bagi orang kaya, tidaklah mempunyai “nilai” yang sebesar orang miskin. Jumlah RM10 tetap sama, tetapi apa yang berbeza ialah “nilai” sesuatu itu. RM10 bagi orang berpendapatan tinggi, mungkin hanya secawan teh tarik di hotel (itu pun minum cuma separuh cawan), tetapi RM10 bagi orang miskin adalah pendapatan sehari mereka, yang cukup untuk makan satu keluarga. Dalam ekonomi, teori ini dipanggil sebagai teori marginal. Merupakan salah satu teori penting dalam ekonomi Keynes. Teori marginal mengukur perubahan sesuatu berasaskan kepada peningkatan kedudukan sumbernya. Dalam teori kepenggunaan, teori marginal menganggap, “nilai” bagi sesuatu akan semakin mengecil apabila semakin besar pendapatannya.

Teori ini sangat berguna dalam ekonomi. Sebab itulah Islam telah menetapkan sebanyak 2.5% potongan zakat terhadap harta yang telah cukup jumlah terkumpul yang tertentu yang pada kebiasaannya tidak digunakan untuk tempoh tertentu. Islam tidak mengenakan zakat kepada semua orang, tetapi hanya orang yang berpendapatan tinggi.


Teori Marginal Dalam Ilmu

Teori marginal mungkin sesuai untuk dibicarakan dalam soal harta, tetapi dalam soal ilmu, ia sepatutnya menjadi terbalik. Dengan kata lain, “nilai” bagi satu-satu ilmu sewajarnya dianggap lebih tinggi bagi mereka yang mempunyai ilmu yang tinggi. Dengan kata lain, orang yang berilmu tidak akan memperkecilkan sesuatu pengetahuan, walaupun ia kelihatan seperti pengetahuan yang remeh-temeh.

Dalam hukum ilmu, hanya mereka yang jahil yang akan menganggap ilmu itu tidak penting. Semakin seseorang itu berpengetahuan, sepatutnya semakin tinggi penilaiannya terhadap ilmu, tidak kira daripada siapa pun datangnya ilmu itu, daripada guru, cikgu, peruncit, penyapu sampah, pencuci tandas, nelayan, buruh binaan, mahupun daripada seorang murid.

Ilmu tidak semestinya datang daripada seorang guru kepada seorang murid, tetapi kerap kali juga datang daripada seorang yang dianggap murid kepada seorang guru. Atas sebab itu, sifat ego harus dibuang dalam diri mereka yang mencintai ilmu secara jujur. Jika dalam hatinya ada rasa bahawa hanya dia layak bercakap dalam satu-satu bidang, dan orang lain tidak tahu seperti apa yang dia tahu, maka dia telah melanggar pantang-larang seorang yang menuntut ilmu. Dengan bahasa mudahnya, sifat itu telah membuatnya kembali ke arah kejahilan.

Diceritakan dalam al-Quran bahawa Nabi Sulaiman a.s, pernah belajar cuma daripada seekor burung. Bahkan, Abu Hurayrah r.a, seperti yang diceritakan dalam hadis tentang kelebihan ayat al-Qursi, pernah belajar daripada Syaitan! Suatu ketika Rasulullah mewakilkan Abu Hurayrah r.a menjaga harta zakat, kemudian pada malam itu, datang seseorang, lantas mencuri makanan, lalu dapat ditangkap oleh Abu Hurayrah r.a. katanya kepada si pencuri itu, “Aku akan bawakan kamu kepada Rasulullah.” Oleh kerana tidak mahu dibawakan kepada Rasulullah, maka orang itu mengajar sesuatu kepada Abu Hurayrah, “Jika kamu mahu tidur, bacalah ayat al-Kursi, nescaya Allah akan sentiasa menjadi penjaga bagimu dan syaitan tidak akan mengganggumu hingga subuh.” Abu Hurayrah menceritakan kepada Nabi hal itu, lalu Rasulullah s.a.w bersabda, “Orang itu bercakap benar kepada kamu sedangkan dia sebenarnya pendusta besar, itulah Syaitan.” [Sahih Bukhari, Fadhail Surah al-Baqarah, No. 4624]

Benar, dalam kisah Abu Hurayrah itu, apa yang diceritakan daripada Syaitan itu tidak semestinya boleh terus diterima pakai, kecuali setelah disahkan benar oleh Rasulullah s.a.w. Tetapi antara pengajaran penting dalam kisah itu, dalam seorang itu menuntut ilmu, mereka tidak boleh hadkan hanya perlu belajar daripada mereka yang dianggap lebih tinggi ilmunya. Ilmu boleh datang daripada sesiapa sahaja. Profesor universiti tidak perlu mendabik dada dengan panjangnya CV mereka dengan penyelidikan dan penerbitan hingga menolak untuk membaca bacaan ringan daripada majalah ataupun blog ‘orang biasa’.


Hakikat Ilmu

Allah s.w.t berpesan dalam al-Quran, “Dan di atas setiap yang punyai ilmu, ada yang Maha Mengetahui.” Inilah yang perlu selalu diingatkan terhadap mereka yang mendalami ilmu, tidak kira peringkat diploma mahupun professor yang melakukan penyelidikan. Memahami ilmu yang semuanya hak milik Allah, seseorang itu pasti tidak akan mensia-siakan ilmu walau daripada siapa ia datang, kerana seringkali Allah mendatangkan ilmu daripada orang yang dianggap lebih kurang berilmu. Seringkali seorang yang berilmu akan mendapat ilmu daripada pertanyaan orang yang tidak berilmu.

Memperkecilkan sebarang bentuk pengetahuan cuma akan membentuk mental-block dalam minda seseorang. Mental-block ini seterusnya akan membina ego dan inilah yang memusnahkan jiwa orang yang dianggap berilmu. Ego dan sombong hanya layak menjadi pakaian bagi Allah, tetapi iblis telas dilaknat kerana turut cuba mahu turut memakainya. Sifat inilah yang harus dijauhi daripada seorang yang berilmu. Sumber pengetahuan tidak terhad kepada PhD atau professor sahaja, kerana professor universiti sendiri biasanya menghasilkan penyelidikan dengan soal selidik terhadap masyarakat awam. Yang penting adalah tahap kredibiliti ilmu itu sendiri.

Teori Marginal Ilmu adalah berbeza dengan teori marginal kepenggunaan. Semakin tinggi ilmu seseorang, semakin tinggi “nilai” terhadap sebarang pertambahan ilmu.

Pencinta Islam 1

Pencinta Islam 2